Asmawar Samat

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bimbang dengan keadaan rakyat dan negara yang kini sedang menghadapi krisis makanan serta kos sara hidup yang semakin kritikal.

Walaupun pelbagai pengumuman dasar baharu dan tindakan telah dibuat namun belum ada kesan positif selain retorik politik.

Naib Presiden Putra, Datuk Asmawar Samat berkata, apa yang dilakukan kerajaan ketika ini termasuk Program Rahmah tidak membantu menyelesaikan masalah pokok mengenai krisis makanan dan kos sara hidup.

“Ia umpama masuk angin keluar asap, ayam berkokok hari tak siang sedangkan krisis ini dikaitkan dengan kejatuhan nilai ringgit kerana kos import yang turut meningkat.

“Mereka boleh memberi pelbagai alasan sekadar mencari helah tetapi sebagai pemimpin kerajaan terutama Perdana Menteri dan anggota Kabinet perlu bertanggungjawab menyelesaikan krisis ini.

“Ketika belum berkuasa pandai pula bercakap dan memberi pelbagai janji tetapi apabila diberi mandat mentadbir negara, mereka gagal. Baik letak sahajalah jawatan terutama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Membasmi Kemiskinan, Pertanian dan Aduan Awam Putra menegaskan, Mohamad atau Mat Sabu jelas tidak mempunyai pengalaman sebagai menteri.

Katanya, Presiden Parti Amanah itu hanya kaki pidato lawak yang dulu sangat benci kepada rasuah tapi sekarang membela perasuah.

“Apabila pemimpin tidak ada integriti dan tidak jujur kepada rakyat, natijahnya rakyat menjadi mangsa. Apabila berlaku krisis kekurangan barang makanan, negeri Pantai Barat yang kebanyakannya urban dan padat menerima kesan yang teruk.

“Persoalannya, mengapa tiada yang bercakap atau mahu jadi jaguh bagi meningkatkan pertanian dalam mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat?” soalnya.

Menurut Asmawar, dalam soal pertanian, ia memerlukan kerjasama dan koordinasi antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Bagaimanapun, persoalan yang mencabar kemampuan kerajaan perpaduan dalam meningkatkan produksi atau keberhasilan tani bukan setakat memberi subsidi atau bertindak mengatasi masalah bekalan kepada peniaga sahaja.

Sebaliknya soal kekurangan bekalan telur masih diperkatakan sehingga kini dan ditambah pula dengan kekurangan bekalan serta kenaikan harga beras sehingga harga harga makanan di restoran, gerai dan foodtruck turut meningkat dan membebankan rakyat.

“Dalam tinjauan biro ini ke kedai Speedmart di Presint 8, Putrajaya pada Selasa lalu, beras tempatan tidak ada, cuma beras import dalam bungkusan kecil yang mahal harganya dijual.

“Rata-rata penjawat awam dalam kalangan B40 mengeluh kerana kos makanan yang telah meningkat seperti minuman asas teh O di restoran nasi kandar berharga RM2.70, di Q Bistro RM2.80 dan di restoran IOI City Mall pula RM4.80.

“Malah sudah ada yang bertukar kepada minum air suam kosong yang dikenakan bayaran 50 sen atau ais RM1 segelas. Bayangkan kalau mereka ada dua atau tiga anak,” katanya.

Oleh itu, kata beliau, mengapa permasalahan itu tidak menjadi topik utama untuk dibincang dan diselesaikan oleh kerajaan pusat bersama negeri terlibat.

“Misalnya, meluluskan permohonan tanah TOL dengan segera kepada petani atau pengusaha berkelompok yang berminat untuk mengeluarkan makanan gantian seperti ubi kayu, keledek, keladi, pisang, sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, itik, telur, ikan keli, udang dan lainnya.

“Usaha untuk menanam padi secara terapung di tasik terbiar juga harus difikirkan. Jika hasil dan bekalan pertanian meningkat, pastinya harga barang makanan asas akan turun, membuatkan rakyat merasa lega dan gembira.

“Dalam hal ini, semua orang tahu keutamaan hidup adalah untuk mendapatkan bekalan makanan, tempat tinggal dan kesihatan, yang mana ianya melibatkan produk sektor pertanian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast