KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan melecur di muka dan tangan selepas dilempar botol kaca disyaki berisi petrol yang dibakar di sebuah gudang di Taman Perindustrian Air Hitam, Klang baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku pukul 4.20 pagi ketika mangsa berusia 25 tahun itu tidur di pos pengawal.
Katanya, pada pukul 11.43 pagi Selasa lalu, polis menerima laporan dari seorang lelaki yang menyatakan rakannya seorang pengawal keselamatan telah tercedera dibaling bom petrol.
“Hasil siasatan mendapati pengawal keselamatan itu tertidur di pos pengawal sebelum tersedar dan mendapati ada kebakaran di sebelum berjaya lari menyelamatkan diri.
“Akibat kebakaran, mangsa telah melecur di muka, tangan kanan serta kiri dan telah dikejarkan oleh rakan sekerjanya yang bergegas membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hoong Fong, pada masa ini, mangsa sedang berada dalam keadaan stabil dan masih memerlukan rawatan.
Polis seterusnya membuat semakan ke atas rakaman kamera litar tertutup di gudang terbabit mendapati terdapat dua suspek menaiki motosikal berhenti di depan pagar sebelum pembonceng membaling empat botol kaca ke arah pos pengawal dan melarikan diri selepas premis itu terbakar.
“Unit Forensik (D10) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah ke lokasi kejadian untuk mengambil beberapa sampel bukti untuk membantu siasatan lanjut kes tersebut.
“Susulan kejadian dan laporan pengadu itu, Cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki pukul 3 petang pada Rabu lalu yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.
“Suspek lelaki tempatan berusia 39 tahun itu telah direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan lanjut yang dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata,” katanya.
Tegas beliau, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif dan giat mengesan suspek lain yang masih bebas,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau hubungi IPD Klang Selatan di talian 03-337 62222 bagi membantu siasatan.-MalaysiaGazette