KUALA LUMPUR – Aktivis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard menjelaskan dia ditahan polis malam tadi kerana gagal memberi kerjasama sewajarnya kepada pihak berkuasa itu.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau memberitahu, keputusan itu dibuat sebagai tanda protes terhadap laporan polis yang dibuat olehnya ke atas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Rekod saya selama ini tidak pernah gagal dalam memberikan kerjasama. Namun, keengganan kali ini ekoran PDRM secara sengaja telah mengabaikan laporan polis saya ke atas Hannah Yeoh (Menteri DAP) mengenai Program Jom Ke Gereja.
“Awal Mac 2023, saya telah membuat pendedahan mengenai salah guna dana Kementerian Belia dan Sukan serta perlanggaran Perlembagaan Negara artikel 11 (4) serta pelanggaran perbagai enakmen jenayah syariah diperingkat negeri dengan menganjurkan program Jom Ke Gereja.
“Iaitu aktiviti membawa bukan penganut Kristian ke Gereja bagi memperkenalkan agama Kristian. Menteri DAP itu telah membuat laporan polis ke atas saya kerana kononya saya fitnah,” katanya.
Semalam Badrul ditahan sepasukan anggota Polis dari Bukit Aman di Pejabat Agung Pas.
Penahanan itu dibuat sekitar pukul 8.30 malam dan difahamkan ia tiada kaitan dengan Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan akan berlangsung esok.
Menurut Badrul, memang dalam pengetahuannya bahawa Unit Siasatan Jenayah Terkelas telah memperolehi waran tangkap ke atasnya sekitar hujung Julai 2023 kerana keengganan beliau hadir untuk sesi soal siasat di Bukit Aman.
Mengulas lanjut, Badrul berkata, telefon bimbitnya telah dirampas dalam siasatan itu dan akaun Facebooknya turut disekat.
“Saya juga maklumkan telefon bimbit saya telah turut dirampas dan pagi ini page facebook saya ‘cheGuBard Original’ sudah tidak boleh diakses dan disekat siarannya.
“Terima kasih juga pada semua yang memberikan semangat, berdoa. Insya-Allah, saya kuat dan akan terus berjuang. Kita jumpa 16 September 2023 di Masjid Kampung Baru kita mula solat jemaah Zohor bersama,” ujarnya.- MalaysiaGazette