Pemeriksaan dibuat oleh penguat kuasa KPDN di Pasar Raya NSK.

KUALA LUMPUR – Tiada penjualan minyak masak paket 1 kilogram (kg) kepada warga asing oleh Pasar Raya NSK di Jalan Peel seperti dalam video yang tular semalam.

Sebaliknya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, insiden yang berlaku dalam video adalah berpunca daripada salah faham antara beberapa pelanggan yang ingin membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi dalam kuantiti yang banyak.

Katanya, ada beberapa pelanggan yang tidak berpuas hati kerana had pembelian minyak masak berkenaan sebanyak tiga paket sahaja.

“Pihak Pasar Raya NSK telah mengehadkan pembelian minyak masak paket 1kg bersubsidi maksimum hanya tiga paket sahaja bagi setiap transaksi namun ada beberapa pelanggan yang tidak dibenarkan membuat pembelian melebihi had tersebut tidak berpuas hati.

“Ketika proses pemindahan/pemulangan semula lebihan minyak paket 1kg tersebut oleh pekerja warga asing di kaunter pembayaran, video tersebut telah diambil oleh pemilik video itu tanpa mengetahui punca sebenar yang berlaku,” kata kementerian tersebut menerusi kenyataan.

Kenyataan berkenaan susulan video yang tular semalam berhubung dakwaan penjualan minyak masak paket 1kg oleh pasaraya itu kepada warga asing tanpa kawalan sehingga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan dan warga tempatan tidak dapat membeli minyak masak paket 1kg bersubsidi.

KPDN menerima maklumat tersebut selepas melakukan pemeriksaan ke atas premis tersebut.

Sehubungan itu KPDN berkata, pasaraya yang terbabit telah membuat satu laporan polis berhubung isu yang tular berkenaan.

Kementerian tersebut menasihatkan orang ramai khususnya pengguna media sosial supaya berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat atau info yang tidak sahih kerana ia berisiko menimbulkan kegusaran dan kekecohan orang ramai.

Dalam masa yang sama, KPDN turut memberi amaran kepada para peniaga agar terus mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan termasuklah berkaitan barangbarang kawalan dan bersubsidi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. KPDN mesti mewajibkan sesiapa saja yg hendak membeli barangan bersubsidi DIKEHENDAKI MENUNJUKKAN KAD PENGENALAN. Dah lama tak kami di gunakan oleh pendatang asing.

Comments are closed.