Rampasan JKDNKA 7 September lalu yang berjaya membawa kepada pembongkaran dua makmal haram memproses arak tiruan di Kajang. Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tumpas dengan penahanan 10 individu dalam tiga serbuan yang dilakukan di sekitar Kajang pada 7 September lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, siasatan yang dilakukan membawa kepada penemuan dua makmal haram untuk memproses arak tiruan jenis liqour yang disyaki diedarkan di Lembah Klang.

Beliau berkata, pasukan khas yang melakukan pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan 73,800 karton rokok pelbagai jenama dan 24,573 kotak minuman keras jenis liquor yang mana kedua-duanya tidak bercukai berjumlah RM36.083 juta (termasuk nilai cukai).

“Menerusi serbuan tersebut juga, pasukan khas kami turut merampas peralatan dan mesin yang digunakan untuk memproses minuman keras dan tiga buah kenderaan pelbagai model dianggarkan bernilai RM395,575 yang disyaki digunakan sindiket untuk kegiatan mereka.

Rampasan JKDNKA 7 September lalu yang berjaya membawa kepada pembongkaran dua makmal haram memproses arak tiruan di Kajang. Ihsan PDRM

“Kesemua 10 suspek berkenaan kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di bawah Seksyen 116C Akta Kastam untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya menerusui kenyataan, hari ini.

Daripada 10 suspek yang ditahan itu, luma suspek adalah warga asing.

Menurut Hazani, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan lima suspek ahli sindiket warga asing itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,”.

Sementara itu, Hazani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 3,764 individu atas pelbagai kesalahan dalam Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah bagi tempoh 1 Januari sehingga 14 September lalu.

Katanya, menerusi tagkapan itu pelbagai barangan seperti ubat–ubatan palsu, barang tidak bercukai kastam, haiwan dan hidupan liar dirampas berjumlah RM726,441,416. – MalaysiaGazette