Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas telah mengalami kerugian selepas segala wang persaraan, simpanan tetap, akaun amanah, gadaian emas milik bernilai RM3.83 juta lesap sekelip mata.

Ia akibat ditipu oleh sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa wanita tempatan berusia 70 tahun itu yang ditipu sehingga kehilangan segala wang simpanannya pada Selasa lalu.

Katanya, siasatan awal polis mendapati mangsa seorang pesara syarikat swasta dari Subang Jaya telah menerima panggilan telefon daripada suspek sindiket penipuan yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai ejen insurans.

“Suspek pada mulanya menyatakan kononnya terdapat tuntutan insurans yang dibuat menggunakan nama mangsa namun mangsa menafikan ada membuat sebarang tuntutan insurans seperti didakwa suspek.

“Panggilan itu kemudian telah disambungkan kepada ‘pegawai polis’ sebelum individu itu mendakwa nama mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Hussein, mangsa yang panik dan bimbang ditangkap pihak berkuasa mula menuruti apa sahaja arahan diberikan oleh ahli sindiket tersebut.

Menurutnya, suspek berjaya menyakinkan dan mengarahkan mangsa untuk pergi ke premis bank berhampiran untuk membuka akaun bank baharu dan mendaftarkan satu nombor telefon yang diberikan oleh suspek untuk urusan perbankan dalam talian.

“Mangsa kemudian telah diminta untuk menyerahkan nombor akaun berkenaan dan butir-butir perbankan kepada suspek kononya bertujuan mengawal pendapatan mangsa bagi tujuan siasatan lanjut.

“Mangsa seterusnya telah diarahkan oleh suspek untuk memindahkan semua wang miliknya iaitu wang persaraan, simpanan tetap, akaun amanah, Tabung Haji dan gadaian emas berjumlah RM3.839 juta ke dalam akaun terbabit kononya untuk siasatan dan tidak dibenarkan mengakses akaun itu untuk tempoh beberapa bulan atas alasan sehingga siasatan selesai sepenuhnya,” katanya.

Tegas Hussein lagi, mangsa juga turut diarahkan oleh suspek supaya menghapuskan kesemua resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaun itu.

“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu sindiket selepas pergi ke bank pada 13 September lalu dan membuat semakan sebelum terkejut besar setelah mendapati mendapati baki wang dalam akaun banknya hanya berbaki RM79.59.

Kata beliau, laporan polis tentang penipuan dibuat oleh mangsa kini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak melayan sebarang panggilan telefon dari orang yang tidak dikenali dan melakukan sebarang transaksi kewangan yang diarahkan tanpa usul periksa.

“Tiada panggilan telefon dari satu syarikat, agensi atau jabatan kerajaan yang boleh dipindahkan dari satu pihak ke pihak yang lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette