KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines sudah mengembalikan hidangan makanan panas secara beransur-ansur untuk beberapa sektor selepas menerima peralatan tambahan untuk penyediaan makanan dalam pesawat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dengan itu, sudah tentu hidangan ‘signature MH’ iaitu sate juga disediakan untuk kelas perniagaan.
Beliau berkata, segala kesulitan yang masih dihadapi dalam penerbangan-penerbangan lain amatlah dikesali.
Namum, Malaysia Airlines akan berusaha untuk memulihkan keadaan secara sepenuhnya secepat mungkin, katanya dalam hantaran di Facebook.
Melalui hantaran itu, Loke berkongsi hidangannya ketika dalam penerbangan Malaysia Airlines ke Kuching untuk menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dan seterusnya sambutan Hari Malaysia pada malam ini.
Dalam perkongsian itu, beliau menunjukkan hidangan sate, kek, roti dan satu lagi menu di dalam bekas, selain air.
Pada 1 September lalu, Malaysia Airlines memperkenalkan tawaran makanan dalam penerbangan yang disemak semula pada laluan yang sebelum ini disediakan oleh bekas penyedia kateringnya.
Ia termasuk kacang tanah dan minuman khas, minuman dalam kotak sedia untuk dibawa dengan pastri, coklat, biskut dan minuman yang siap dibungkus atau makanan panas dalam bekas pakai buang dihidangkan dalam dulang yang dipermudahkan.
Perkhidmatan di laluan London, Auckland, Jeddah, Madinah, Osaka dan Haneda kekal tidak terjejas.
Malaysia Airlines menubuhkan pusat pengedaran sementara di KLIA, untuk menguruskan pengumpulan barangan F&B oleh pembekal masing-masing dan mengangkat kotak makanan ke pesawat melalui trak lif tinggi.
Operasi pusat itu adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan diperakui oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk kebersihan dan persekitaran menepati piawaian keselamatan dan kebersihan makanan.
Kontrak katering yang lama terjalin antara MAB dan Brahim’s Food Services (BFS) berakhir pada 31 Ogos 2023 selepas rundingan meluas antara kedua-dua pihak sejak suku keempat 2022 tidak menghasilkan perjanjian yang baik.
Tetapi dalam kenyataan semalam, Malaysia Airlines Bhd berkata, syarikat itu menyasar untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan hidangan makanan lengkap menjelang pertengahan November tahun ini.
Menurutnya, pengembalian semula perkhidmatan makanan panas di laluan domestik dan antarabangsanya yang terjejas akibat peralihan katering baru-baru ini dipulihkan dengan ketibaan 10 trak lif tinggi baharu lebih awal daripada jadual.
Ia sebelum ini menjangka akan mengembalikan semula tawaran makanan dan minuman panas (F&B) untuk semua penerbangannya mulai minggu ketiga September.
“Malaysia Airlines menjangkakan ketibaan 10 lagi lif tinggi dalam bulan-bulan mendatang, sambil meningkatkan dan memperhalusi komponen makanan pra-pembungkusan secara proaktif dalam tempoh sementara,” katanya dalam satu kenyataan.
Trak lif tinggi adalah bahagian penting dalam keseluruhan proses hidangan makanan dalam pesawat syarikat penerbangan dengan memastikan standard kualiti dan keselamatan makanan terjamin.
Menurut Malaysia Airlines, ia akan memastikan bahawa troli makanan berada pada suhu yang betul, mengekalkan kesegaran makanan panas, di samping mengekalkan amalan ketat sepanjang proses. – MalaysiaGazette