Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berucap selepas membuat laporan polis pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendesak satu siasatan menyeluruh dan serius oleh pihak berkuasa terhadap keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan salahlaku, pecah amanah dana Yayasan Akalbudi pada 4 September lalu.

Berdasarkan kronologi kes,  Ahmad Zahid telah melalui perbicaraan dari awal hingga sehingga pendakwa raya kanan kes dilucutkan.

Kemudian katanya, pelantikan Peguam Negara yang baharu kemudian secara tiba-tiba dilepas tanpa dibebaskan.

“Jadi dalam isu Ahmad Zahid ini banyak perkara yang kita rasa amat meragukan dan kita sebagai rakyat juga merasakan ini adalah satu perbuatan yang dimanipulasi dari sudut perundangan eksekutif dan sebagainya.

“Atas sebab itu, saya tampil membuat laporan polis agar perkara ini disiasat dari awal, membabitkan semua pihak terlibat, bukan sekadar Ahmad Zahid sahaja tetapi juga setiap orang yang lain bersama Yayasan Akal Budi itu sendiri termasuk peguam negara yang lama dan baharu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang dilucutkan,” katanya dalam sidang media di hadapan Sogo di ibu negara petang tadi.

Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin berucap di hadapan Sogo pada Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 SEPTEMBER 2023.

Terdahulu beliau bersamakira-kira 3,000 peserta berarak dari Masjid Jamek Kampung Baru atas nama Himpunan Aman Selamatkan Malaysia.

Tambah beliau, pihaknya merasakan wujud salah guna kuasa yang jelas dari segi pentadbiran dan tatakelola oleh kerajaan semasa.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, segala perubahan mengejut dalam kes Zahid ini menjadi persoalan besar.

“Yang lebih merisaukan kita semua di sini dan ramai rakyat Malaysia juga apabila baru- baru ini PM Anwar Ibrahim menyatakan ada sebab-sebab kuat kenapa DNAA itu disyorkan dalam kes Zahid oleh pihak pendakwaraya.

“Satu lagi yang lebih serius adalah bagaimana mungkin seorang perdana menteri yang mana timbalan perdana menterinya menghadapi isu sebegini besar boleh membuat satu kenyataan sebegitu berani di negara luar dan inilah yang kita persoalkan sekarang.

“Kita mohon untuk disiasat semula oleh pihak yang terlibat dalam kes ini termasuk Yayasan Akalbudi ini, mestilah disiasat sehabis mungkin.

“Kenapa kami pilih polis adalah kerana kita memohon SPRM dan pegawai penyiasat SPRM dalam kes Zahid juga disiasat sebab ia menimbulkan terlalu banyak persoalan,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast