SERDANG – Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM) menerbitkan modul perintis nanosains dan nanoteknologi khusus yang disesuaikan bagi subjek Kimia di sekolah menengah untuk meningkatkan pemahaman dalam menyampaikan topik nanoteknologi.
Misi ION3 UPM adalah untuk mencipta program yang sesuai dengan keperluan masyarakat sambil memanfaatkan kepakaran dan sumber yang ada dan akan dimulakan di sekolah menengah di daerah Hulu Langat.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM (TNC PI), Prof Dr. Nazamid Saari berkata, permulaan modul ini adalah langkah pertama telah dimulakan yang
membuka jalan kepada lebih banyak pemindahan dan perkongsian ilmu sama ada secara langsung atau tidak langsung bagi mengangkat bidang nano ke tahap yang terbaik di sisi masyarakat di negara ini.
“Penerbitan modul pemindahan ilmu nanosains dan nanoteknologi dapat melancarkan pelaksanaan aktiviti pemindahan dan pengembangan ilmu kepada komuniti tersasar secara lebih efektif dengan penyampaian isi kandungan yang tepat, berstruktur dan sistematik.
“Impak penghasilan modul ini akan melancarkan pelaksanaan aktiviti pemindahan ilmu berdasarkan modul ini dan berupaya untuk meningkatkan dan mengukuhkan pengetahuan dan pendaya upayaan kefahaman guru-guru dalam bidang nano,” katanya.
Ia adalah selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menggariskan kurikulum melalui idea, teknologi dan inovasi berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Selain itu, ia turut mendukung matlamat ke tiga Pelan Tindakan Pelan Strategik UPM 2021-2025 UPM untuk menjadi universiti tersohor yang sentiasa
memberikan sumbangan ke arah pembangunan lestari, pembangunan rakyat, kekayaan negara serta keterlibatan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, katanya. – MalaysiaGazette