Home Utama Anggota JPJ cedera dirempuh ketika lakukan SJR

Anggota JPJ cedera dirempuh ketika lakukan SJR

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengalami kecederaan selepas dirempuh sebuah motosikal yang melanggar sekatan jalan raya raya (SJR).

JPJ menerusi kenyataan memaklumkan, dalam kejadian pukul 11 pagi itu anggota terbabit dirempuh suspek berusia 25 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR ketika sedang melakukan Operasi Penguatkuasaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 28, Lebuhraya Seremban-Port Dickson menghala Port Dickson.

Katanya, akibat rempuhan itu anggota terbabit mengalami kecederaan pada bahagian otot leher, kepala dan bengkak tangan serta kaki.

“Hasil siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan, penunggang motosikal terbabit mempunyai dua rekod senarai hitam yang masih aktif dan telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah lesen kenderaannya tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu kompetan dan sitaan dibuat di bawah Seksyen 64 (1) APJ 1987,” katanya.

Menurut JPJ lagi, satu laporan polis telah dibuat dan penunggang motosikal terbabit diserah kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Port Dickson untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

JPJ memamklumkan, pihaknya telah melancarkan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 untuk tempoh selama sebulan mulai 1 hingga 30 September 2023 di seluruh negara.

Katanya, ia bertujuan mengukuhkan pembudayaan pematuhan undang-undang serta memupuk rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan keselamatan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah–Kaedah di bawahnya khususnya kesalahan utama yang menjadi punca kepada kecederaan parah dan kemalangan maut melibatkan pengendali motosikal.

Justeru, JPJ ingin menasihati orang ramai supaya tidak melarikan diri atau bertindak di luar jangka ketika berhadapan dengan Operasi Penguatkuasaan SJR yang dilakukan oleh JPJ.

“JPJ juga menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan kesalahan lalu lintas secara terus atau real time dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan,” ujarnya. – MalaysiaGazette