Najwan
Najwan Halimi

SHAH ALAM – Kerencaman ideologi, kepelbagaian kepercayaan, kemajmukan kaum serta keunikan budaya tidak sewajarnya menjadi punca perpecahan dalam kalangan rakyat negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, sepanjang 60 tahun ini semua perbezaan itu menjadi tunjang kepada kekuatan dan dorongan agar setiap anak watan kekal berpadu dan berpegang kepada semangat perpaduan.

“Perpaduan adalah kunci kepada kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kerukunan hidup rakgilayat. Bersamalah kita hargai nikmat ini dengan sentiasa menjaga dan mempertahankannya,” katanya di sini, semalam.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menginsafi pahit getir serta cabaran yang didepani tokoh terdahulu dalam merundingkan pembentukan negara ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Najwan yang juga Exco Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana negeri menerima kunjungan Pengarah Jabatan Pelesenan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sharinaz Samsudin.

Katanya, beliau diberi taklimat berkaitan Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 serta pencapaian MBPJ menerusi pelaksanaan pelan itu dalam tempoh dua tahun sejak dilancarkan.

“Insya-Allah, kerajaan Selangor sedang dalam merangka Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana Negeri Selangor 2023-2027 yang akan dilancarkan Menteri Besar Selangor.

“Matlamat utama pelan strategik ini mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda sosioekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan.

“Ia juga untuk meningkatkan bilangan usahawan yang berkelayakan, berdaya maju dan berdaya tahan di negeri Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast