KUALA LUMPUR – Sekumpulan pemandu kenderaan berat terus buntu selepas lori-lori milik mereka masih belum dilepaskan daripada sitaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak sembilan bulan lalu hingga menyebabkan masing-masing terus hilang punca pendapatan.
Malah, rata-rata pemandu yang ditemui mendakwa, mereka telahpun melangsaikan kompaun atas kesalahan membawa lebih muatan.
Kumpulan terbabit turut mendakwa, ada pemilik lori sudah dikenakan senarai hitam oleh pihak bank kerana gagal membayar ansuran bulanan kenderaan hingga mencecah RM6,000 sebulan.
Pemandu lori, Shanmagaraja Kannaga Raja, 43, berkata, dia antara pemandu lori yang hilang punca pendapatan selepas kenderaan berat miliknya disita JPJ Disember lalu.
“Denda sudah dibayar tetapi sehingga kini lori tidak dilepaskan bagaimana mahu cari makan? Lebih teruk sekarang bank sudah hantar notis kepada saya untuk senarai hitamkan saya.
“Ini kali pertama lori saya disita, kami bukan bawa dadah, bukan bawa barang terlarang kesalahan saya lebih muatan saja, malah cukai jalan dan semua dokumen masih sah dan lengkap semasa ditahan. Ini tidak adil,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kedua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.
Teh Chee Min, 58, turut meluahkan kekesalan apabila lori miliknya dikenakan notis pelucutan hak walaupun denda yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan lebih muatan sudah dijelaskan.
Katanya, ramai pemandu lori terpaksa membawa muatan lebih daripada dibenarkan berikutan kenaikan kos terutama harga minyak, harga tayar, dan lain-lain kos penyelenggaraan.
“Macam mana mahu hidup, kami mahu cari makan pun tidak boleh kerana kalau ikut had berat yang ditetapkan hendak tampung kos minyak pun kadang kala tidak mencukupi.
“Saya sudah 20 tahun bawa lori, kami bukan marah sesiapa, kami cuma mahu keadilan untuk pemandu lori. Inflasi menyebabkan harga barang naik, kalau kami naikkan caj penghantaran, harga barang akan bertambah naik, jadi kami terpaksa bawa lebih muatan.
“Ia untuk menampung kos perbelanjaan dan operasi yang tinggi ketika ini, bayangkan mahu tukar satu biji tayar meletup pun kami sudah pening kepala, kami bukan pencuri jadi saya rayu pihak berwajib lepaskan lori kami,” katanya.
Sementara itu, peguam kumpulan, Muhamad Khairuddin Annuar mengibaratkan notis pelucutan hak itu sebagai ‘tamparan’ kali kedua kepada anak-anak guamnya kerana ada antara mereka sudah membayar kompaun lebih RM25,000.
“Dengan saya ada 18 anak guam membabitkan kes sama di mana mereka sudah membayar denda bagaimanapun terima notis daripada JPJ untuk pelucutan hak.
“Tindakan ini amat tidak adil bagi anak guam saya kerana denda sudah dilangsaikan, ia amat menjejaskan mata pencarian mereka yang bergantung kepada lori berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, kumpulan itu memohon pihak berkenaan khususnya JPJ dan Kementerian Pengangkutan meneliti semula undang-undang berkaitan had muatan serta melepaskan lori-lori yang disita dalam kadar segera. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: