ALOR GAJAH – “Malam 9 September lalu, saya memang rasa tak sedap hati bila anak beritahu hendak keluar menonton wayang bersama adiknya dan rakan-rakan, namun membenarkannya selepas dipujuk suami dan anak.
“Sampai sekarang, saya masih tak tahu apakah punca anak saya disyaki dibunuh oleh tiga rakannya sama ada sebab wang RM4,000 hasil jualan motosikal miliknya atau terdapat isu lain,”.
Itu kesedihan dikongsi K. Vathma, 55, mengenai kehilangan anak sulungnya, R. Darvnrajh, 24, yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibakar dan ditemukan di kawasan semak sekitar Hutan Percha di sini, pagi Sabtu lalu.
Menurutnya, dia tidak menyangka tindakannya membenarkan Darvnrajh dan anak lelaki bongsunya berusia 17 tahun keluar pada malam 9 September lalu berakhir dengan tragedi menyayat hati itu.
“Beberapa hari sebelum itu, anak sulung saya itu ada meminta bantuan rakan-rakannya mencari pembeli motosikal lama jenis Yamaha 125Z miliknya sebagai modal untuknya mula bekerja di Lapangan Terbang Changi, Singapura, Rabu ini.
“Dapatlah dia cash RM4,000 dan mungkin duit itu dibawa bersama kerana tidak disimpan di rumah kami di Taman Bukit Ria, Tampin, Negeri Sembilan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Vathma ketika malam kejadian, hanya suami berada di rumah manakala dia berada di Kuala Lumpur untuk upacara keagamaan dan hanya tiba di Tampin sekitar 2.30 pagi 10 September lalu yang juga merupakan hari ulang tahun kelahirannya.
“Kali terakhir saya bercakap dengan Darvnrajh adalah pada malam sebelumnya dan sempat berpesan kepadanya supaya terus pulang ke rumah sebaik selesai menonton wayang.
“Tapi tak sangka pula, ia berakhir dengan kematiannya walaupun doktor belum mengesahkan mayat yang dijumpai orang ramai dalam semak di Hutan Percha, Alor Gajah pagi Sabtu lalu itu adalah anak saya,” katanya.
Tambahnya, bagaimanapun berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, dia yakin lelaki yang dipukul tiga individu lain berusia sekitar 20-an sebelum membawanya menaiki sebuah kereta itu adalah anaknya.
“Jika keputusan DNA mengesahkan mayat itu adalah Darvynrajh, saya mahu keadilan terhadap kematian anak, apakah punca dia dibunuh sedemikian rupa.
“Nak kata ada motif cemburu, anak saya memang tiada kekasih atau jika si pelaku mahu merompak wang sekalipun, kenapa perlu sampai perlu meragut nyawa,” katanya sebak.
Sementara itu, sumber polis mengesahkan kes tersebut dan sedang menunggu siasatan lanjut sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan media. – MalaysiaGazette