Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melonggarkan kriteria pengambilan jururawat terlatih warga asing bagi fasiliti kesihatan swasta.

Syarat antara lain membenarkan pengambilan Jururawat Terlatih Warga Asing (JTWA) tidak boleh melebihi 40 peratus di setiap fasiliti.

Menteri Dr. Zaliha Mustafa berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan kekurangan jururawat yang memberi kesan yang besar terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan secara efektif di negara ini.

Jelasnya, isu berkenaan telah lama dibangkitkan oleh pelbagai persatuan dalam rangkaian industri perubatan swasta dan ia harus diatasi dengan segera.

Katanya, JTWA terbabit perlu mematuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri, termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak.

Jururawat berkenaan perlu menduduki ujian Malaysian Nursing Board Qualification Examination for Foreign Trained Nurses yang dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia.

Pengambilan jururawat asing sah bagi tempoh 12 bulan sahaja iaitu mulai 1 Oktober 2023 sehingga 30 September 2024 dan pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) JTWA.

“Keputusan ini telah disambut baik oleh industri perubatan swasta kerana ianya dapat membantu mengoptimumkan pengoperasian dan perkhidmatan mereka.

“Dengan ini, fasiliti kesihatan swasta juga akan lebih bersedia untuk menyokong KKM dalam usaha memenuhi keperluan kesihatan rakyat, melalui jalinan kerjasama awam-swasta.

“KKM menjangkakan langkah ini akan memberi kesan positif terhadap pelbagai sektor seperti industri pelancongan kesihatan, dan seterusnya merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Zaliha berkata, KKM prihatin dan tetap memberi keutamaan kepada kebajikan dan prospek kerjaya jururawat tempatan yang sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Katanya, Kementerian Kesihatan akan melaksanakan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta secara berfasa bagi tahun 2024 dan 2025.

Langkah tersebut bagi mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan akan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara.

Tambah beliau, Kerajaan sentiasa cakna dan sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam menyelesaikan isu berhubung perkhidmatan kesihatan di negara ini.-MalaysiaGazette