KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan menteri dan pemimpin Pakatan Harapan sebagai lucu kerana tidak menegur beliau apabila pendakwaan dilakukan terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika parti tersebut berkuasa.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika benar beliau telah melakukan salah guna kuasa dalam pendakwaan terhadap Ahmad Zahid, sepatutnya menteri dan pemimpin PH sudah menegur beliau.
Dr Mahathir berkata, pemimpin PH begitu lantang apabila jawatan perdana menteri tidak diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ramai menteri di dalam Kabinet saya adalah dari PH dan PKR termasuk juga isteri Anwar yang menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Kalau mereka kata tidak berani berkata apa-apa, ia agak lucu kerana apabila berkait dengan serah jawatan PM kepada Anwar, mereka lantang dan bersemangat.
“Mungkin mereka lupa, kesemua mereka menyokong proses undang-undang yang dilakukan terhadap Zahid (dan Najib) kerana itu adalah mengikut Rule of Law serta bukti Kerajaan PH ketika itu berjuang melawan rasuah,” kata Dr Mahathir.
Beliau secara sinis berkata, kesangsian terhadap kes rasuah yang dilakukan Ahmad Zahid hanya timbul setelah Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri dengan sokongan Presiden UMNO itu.
Sementara itu Dr Mahathir berkata, Ahmad Zahid didakwa kerana kes melibatkan Presiden UMNO itu menjadi isu panas semasa kempen pilihan raya.
Menurut beliau, Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas telah membuat siasatan dan mendapati terdapat kes untuk mendakwa Ahmad Zahid.
“Maka kes itu dibawa ke mahkamah. Selama empat tahun dengan puluhan saksi serta bukti-bukti dibentang, Hakim Mahkamah Tinggi berpuas hati pendakwa telah berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap Zahid dan dia diarah untuk mempertahankan diri.
“Amatlah tidak logik untuk seorang Hakim Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa ada kes prima facie jika pendakwa gagal memberi bukti yang kukuh dan hujahan yang baik,” kata Dr Mahathir.
Beliau mengulas kenyataan Anwar dalam satu temuramah bersama Bloomberg News beberapa hari lalu menyatakan keputusan menarik balik 47 kes rasuah terhadap Ahmad Zahid Hamidi adalah sepenuhnya keputusan Peguam Negara.-MalaysiaGazette