Shidan Kassim

KUALA LUMPUR – Sebaik sahaja Dewan Rakyat memulakan sidang hari ini, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bingkas bangun memohon agar kerajaan memberikan fokus kepada kenaikan harga besar yang menghimpit rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan perlu hentikan segala peruntukan dan pembangunan dan fokus kepada kenaikan harga beras.

“Rakyat menjerit di bawah sana harga beras naik dan harga barang naik. Saya minta kerajaan kalau nak buat apa berhenti dahulu dan fokus kepada untuk turunkan harga beras.

“Harga beras ini terus naik dan saya minta jawapan,” katanya di Dewan Rakyat.

Menjawab luahan Shahidan itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Nor berkata, dewan itu mengambil maklum usul tersebut dan akan dimuktamatkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Saya ambil maklum dan apa yang saya fahamkan, hal yang dibangkitkan oleh (Ahli Parlimen) Arau dalam pertimbangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Apa yang dibangkitkan Arau ada dalam pertimbangan Dewan Rakyat dan masalah ini dalam pertimbangan dan akan dijawab oleh menteri, jadi tidak perlu dipanjangkan,” jawab Ramli.

Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula bingkas bangun memohon penjelasan dengan berkata, Dewan Rakyat perlu memberi pemberitahuan di dalam dewan tersebut.

“Notis yang dikemukakan oleh Arau perlu dijawab oleh Speaker walaupun ditolak dalam kamar, mesti ada pemberitahuan bahawa usul tersebut telah ditolak,” katanya.

Menjawab perkara itu, Ramli berkata, beliau baru menerima pemberitahuan tersebut untuk diumumkan di dewan.

Usul yang dikemukakan Shahidan ditolak Ramli dengan alasan 55 Ahli Dewan Rakyat telah membangkitkan perkara sama kepada dewan.

“Saya baru terima ini di mana usul mengenai bekalan beras yang menyaksikan kenaikan harga beras import.

“Saya telah meneliti bahawa usul Arau tidak terjumlah di bawah urusan majlis khas yang telah ditetapkan, oleh yang demikian, saya tidak dapat membenarkan usul Arau dibawa ke Majlis Mesyuarat.

“Justeru selaras dengan Peraturan Mesyuarat 18 (7) (C) saya menolak usul Arau dalam kamar,” baca Ramli di Dewan Rakyat.

Ramli mengarahkan agar sesi penggulungan oleh Kementerian-kementerian mengenai laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12), hari ini. – MalaysiaGazette