Jalil Ahmad didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Bekas pekerja sebuah kedai nasi kandar didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menipu majikannya pada Oktober tahun lalu.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Jalil Ahmad Mohd Adam, 53, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menipu seorang lelaki berusia 22 tahun sebanyak RM50,000 untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di The Summer Place, Lebuh Sungai Pinang di George Town antara jam 2 petang hingga 4.05 petang pada 17 Oktober 2022.

Tertuduh didakwa menipu seorang lelaki bagi mendapatkan lesen perniagaan daripada MBPP.

Tertuduh membuat pengakuan itu mengikut pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan, tertuduh memohon mahkamah untuk meringankan hukumannya susulan dia kini tidak bekerja dan disara oleh dua orang anaknya.

Noor Azura bagaimanapun memohon hukuman berat berbentuk pengajaran kerana ia merupakan kesalahan serius yang kerap berlaku supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai pembantu di bahagian dapur telah memperdaya anak pemilik kedai nasi kandar warisan yang beroperasi sejak 1940-an itu dalam urusan mendapatkan lesen perniagaan dengan MBPP.

Tertuduh mendakwa sebahagian wang RM50,000 itu akan diberikan kepada pegawai di bahagian pelesanan untuk memudahkan urusan tersebut. – MalaysiaGazette