KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyambut baik pelantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi untuk empat negeri (SF4) yang ditadbir Pas.
Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, sokongan itu dizahirkan Putra tanpa bersangka buruk, prejudis atau kepentingan politik semata-mata, sebaliknya berdasarkan kepada ketokohan dan pengalaman mantan Perdana Menteri itu.
“Yang pasti Dr Mahathir tidak pernah minta untuk dilantik jawatan itu, malah kerajaan SG4 yang melantiknya dan mesti ada sebab tokoh negarawan ini diberi tanggungjawab itu.
“Apabila nama Dr. Mahathir disebut sebagai penasihat kepada SG4 ini, riuh-rendah suara di luar sana, termasuk ahli akademik bergelar profesor menghentamnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khamis lalu, Menteri Besar Terengganu Ahmad, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam proses membentuk ‘kumpulan empat negeri’ dengan Dr. Mahathir dilantik sebagai penasihat tidak rasmi.
Menurut Shahrulufti, Putra berpendapat SG4 bijak mengambil kesempatan melantik Mahathir sebagai penasihat atas sebab dirinya seorang tokoh negarawan yang sangat berpengalaman.
“Dr. Mahathir juga memiliki pengetahuan luas dalam bidang teknologi, telekomunikasi dan banyak lagi serta mempunyai hubungan dan kenalan dengan pemimpin termasuk peneraju teknokrat terkemuka antarabangsa.
“Beliau juga mempunyai reputasi yang kukuh dalam sektor teknologi dan perhubungan antarabangsa, selain pengalamannya dalam menjalin hubungan dengan pemimpin dan perniagaan di negara seperti Jepun dan Korea.
“Nescaya, ianya akan menjadi aset berharga untuk dimanfaatkan oleh kerajaan SG4 yang lemah dan serba kekurangan ini,” katanya.
Ditanya kenapa SG4 tidak melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Shahrulufti
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sentiasa sibuk dengan politiknya.
Malah, jelas beliau lagi, Presiden Parti Bersatu itu juga sering bersama pimpinan Pas dalam mesyuarat, perjumpaan dan sebagainya.
“Pas juga tidak akan melantik Tengku Razaleigh Hamzah kerana Penasihat UMNO itu pernah menuduh PN sebagai pelacur politik, malah sudah tentu beliau juga tidak akan memahami sikap gabungan itu.
“Kesimpulannya, pilihan Dr. Mahathir adalah langkah tepat dan strategik kerana peranannya masih relevan serta semakin popular,” katanya. – MalaysiaGazette
Bagi 4 negeri ini, PMX bukanlah PM mereka. Tak salah punyai penasihat ekonomi dan pentadbiran sendiri. Ini adalah suatu inisiatif yang baik.