KUALA LUMPUR – Cadangan pembentukan empat negeri atau State-Government 4 (SG4) yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) bukan untuk memusuhi Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, kata Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, ia untuk meningkatkan potensi bagi empat negeri berkenaan iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah memeterai kerjasama erat dalam bidang industri, pelancongan dan ekonomi.
Katanya, mereka akan mencari jalan dengan pelbagai cara untuk meningkatkan tahap ekonomi dan perkara berkaitan di negeri berkenaan.
“Pembentukan SG4 ini tidak bermakna kita memusuhi kerajaan pusat. Ini adalah antara inisiatif demi manfaat rakyat di empat negeri tanpa wujudnya sebarang sentimen anti kerajaan Persekutuan.
“Ketika ini kita akan bekerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi dan kementerian, malah minggu lepas saya hadir mesyuarat Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Saya percaya untuk capai matlamat, kita harus gunakan pelbagai cara termasuk kiri kanan, atas bawah asalkan tercapai objektif yang kita nak capai,” katanya di Terengganu hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, projek pembinaan ECRL antara bukti betapa eratnya hubungan kerajaan Terengganu dengan pusat selama ini.
Mengenai pemilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi SG4, beliau berkata, peranan mantan Perdana Menteri itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya. – MalaysiaGazette