KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Caprice, 35, menafikan tanggungjawab membantu mangsa gangguan seksual telah mengambil alih kerja Tuhan.
Sebaliknya pempengaruh media sosial itu menjelaskan, apakah masyarakat perlu membiarkan seseorang yang kelihatan jahat selepas dia datang meminta bantuan apabila berdepan insiden yang dilarang agama.
“Kalau dalam ceramah Islam, dalam neraka ada penagih dadah, adakah kita patut berhenti jangan mengejar penagih dadah? Kalau ikut kata-kata netizen, apa sebab kita perlu wujud kesedaran untuk penagih dadah sedangkan biar Tuhan yang uruskan.
“Selepas itu kita pergi kepada perogol, apakah kita tidak perlu bantu mangsa perogol? Kita pergi ke pembunuh, adakah tidak bermakna mangsa-mangsa yang trauma tentang kes bunuh?
“Betulkan saya sebab ilmu agama Islam tidak beberapa baik. Dan munafik adalah orang yang bertopeng manusia baik tetapi lakukan jenayah. Itu bukan kerja Tuhan. Bela mangsa gangguan seksual bukan kerja Tuhan.
“Kalau kita jumpa orang fasik jahat, dia pakai tatoo dan mabuk tapi datang kepada kita. Caprice tolong saya dan dia pelacur, kuat mabuk ada tatoo kena rogol dengan pemandu teksi. Sebagai orang Islam adakah wajib kita bela orang yang dizalimi atau buat bodoh sebab dia pelacur dan patut kena rogol,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk ThorX, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut laporan polis dibuat Ebit Lew, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli mengesahkan dia sudah memberi keterangan selama enam jam bagi membantu siasatan atas laporan dibuat pendakwah itu mengenai fitnah melampau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, semalam.
Caprice berkata, dia mempunyai segala bukti kukuh berhubung pendedahan gangguan seksual yang dihadapi pempengaruh Indonesia, Mondy Tatto termasuk meminta wanita itu menandatangani perjanjian sebelum dikongsikan di podcast kendaliannya itu, baru-baru ini.
“Semalam, saya, Mondy dan beberapa kakitangan hadir memberi keterangan di IPK Selangor yang memakan masa selama enam jam. Kami memberi keterangan bersandarkan pengisian podcast yang tular.
“Hari ini, ada kakitangan saya lagi yang sedang memberi keterangan. Seramai empat orang sudah dipanggil. Setakat ini, kami tunggu saja perkembangan lanjut.
“Selain membuat laporan polis dan menghantar Mondy menjalani ujian psikiatrik profesional, kami turut meminta Mondy menandatangani perjanjian yang mengesahkan semua dakwaan berhubung gangguan seksual itu benar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk ThorX, di sini, hari ini.
Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli berkata, tiada sebab pihaknya membayar Mondy untuk mereka tuduhan atau menjatuhkan mana-mana pihak.
“Kali ini, kami tidak memberi ruang untuk mana-mana pihak dengan mudah mengatakan kami menipu. Ketika kali pertama Mondy tiba di Malaysia, kami sudah rakam perbualan secara senyap kerana waktu itu sudah mula berkongsi serba sedikit apa yang dilalui.
“Kalau saya nak reka, takkan saya nak rakam senyap-senyap. Lebih baik saya suruh berlakon di hadapan kamera dan kalau fikir secara logik saya nak membayarnya, lebih baik saya cari mangsa yang masyarakat mudah percaya seperti wanita bertudung, alim, atau penghafaz al-Quran. Itu lagi mudah masyarakat percaya.
“Tetapi wanita yang saya bantu ini bertatu dan kasta rendah di Indonesia. Buat apa saya nak seksa diri, keluarga untuk bela orang dari kasta rendah,” katanya.
Hari ini, polis mememberitahu pihaknya telah merakam percakapan Caprice dan pempengaruh Mondy berkaitan laporan yang dibuat Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar berkata, rakaman percakapan tersebut telah diambil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bagi siasatan lanjut.
Kelmarin, Ebit tampil membuat laporan polis dengan mendakwa berlaku fitnah melampau terhadapnya.
Ebit menerusi hantaran di Instagram memaklumkan laporan polis dibuat sebaik tiba dari Jeddah, Arab Saudi kira-kira 12 tengah malam.
Laporan itu dipercayai dilakukan selepas tular di media sosial satu rakaman wawancara bersama seorang wanita dari negara jiran yang pernah mendapat pertolongannya.
Wanita itu mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah ketika kali pertama tiba di Malaysia, tahun ini. – MalaysiaGazette