DERIA pendengaran merupakan salah satu keistimewaan tuhan kepada manusia yang membolehkan mereka mendengar, mengesan, membezakan bunyi, menterjemah dan memahami bunyi-bunyi persekitaran serta bunyi pertuturan dalam kehidupan seharian.
Secara umumnya, kanak-kanak akan mula bercakap semasa umur setahun ke setahun enam bulan namun untuk bertutur deria pendengaran perlu normal.
Perkembangan pertuturan dan bahasa sebenarnya ialah sejak lahir sehingga sebelum berusia empat tahun yang lebih dikenali sebagai tempoh kritikal perkembangan.
Sekiranya bayi dikesan mempunyai masalah pendengaran, intervensi perlu dilakukan sebelum enam bulan pertama bagi mengelakkan perkembangan pertuturan bayi terjejas.
Pegawai Audiologi Hospital Pakar KPJ Perlis, Nur Awatif Zulkeflee berkata, ujian saringan pendengaran bayi merupakan ujian asas yang dilakukan terhadap bayi yang baru lahir bagi mengesan mereka yang mempunyai masalah pendengaran.
Tambahan pula, dengan adanya Penjagaan Telinga dan Pendengaran Kebangsaan (NEHC) sebagai jawatankuasa yang menyelaras, memantau dan merancang pelan yang strategik terhadap program Pendengaran Universal Bayi Baru Lahir (UNHS) di negara ini banyak membantu lebih banyak bayi disaring bagi mendapatkan rawatan yang optimum.
“Ujian saringan pendengaran kini boleh didapati dihampir semua hospital kerajaan dan swasta,” katanya.
Katanya lagi, faktor masalah pendengaran ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu masalah pendengaran yang wujud sejak lahir atau dikenali sebagai ‘Congenital Hearing Loss’ dan masalah pendengaran yang berlaku selepas waktu kelahiran iaitu dalam tempoh perkembangan bayi iaitu ‘Acquired Hearing Loss’.
“Masalah pendengaran boleh berlaku kerana faktor genetik, jangkitan telinga, kecederaan kepala atau telinga terdedah kepada bunyi bising berlebihan selain masalah kesihatan yang lain seperti darah tinggi yang tidak terkawal atau pengambilan ubat ototoksik.
“Namun, masalah pendengaran juga boleh terjadi tanpa diketahui puncanya” kata Nur Awatif.
Selain itu, Nur Awatif memberitahu, ujian saringan pendengaran biasanya dilakukan sebelum bayi dibenarkan pulang ke rumah atau discaj.
“Ini bagi memastikan keputusan ujian tidak dipengaruhi oleh vernix yang terdapat dalam salur telinga bayi.
“Ujian saringan juga lebih cepat dan mudah dilakukan ketika bayi tidur selepas kekenyangan menyusu serta tidak menyakiti bayi,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan Nur Awatif berkata, sekiranya intervensi terhadap kanak-kanak yang dikesan mempunyai masalah pendengaran ini lambat ini akan mengakibatkan kelewatan dalam perkembangan pertuturan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kognitif selain memberikan impak kepada perkembangan sosial kanak-kanak itu sendiri.
“Keyakinan kanak-kanak turut terjejas kerana jauh ketinggalan berbanding rakan-rakan sebaya dan memburukkan lagi keadaan, ia memberi impak negatif terhadap perkembangan mental kanak-kanak itu.
“Selain itu, keadaan ini boleh memberi kesan buruk keselamatan kanak-kanak itu kerana tidak dapat memberi tindak balas terhadap situasi berbahaya menimpa diri mereka,” katanya.
INFO
Ujian saringan pendengaran kepada bayi
– Ujian yang selamat, mudah dan cepat dilakukan. Terdapat dua jenis mesin yang digunakan iaitu mesin ujian Otoacoustic Emission (OAE) dan Automated Auditory Brainstem Response (AABR).
– OAE digunakan untuk saringan pertama dan sekiranya tidak lulus, ibu bapa akan diberi temujanji susulan dalam tempoh sebulan untuk mengulang ujian saringan yang kedua.
– Sekiranya saringan kedua gagal, temujanji untuk ujian diagnostik lebih terperinci akan diberikan untuk mengetahui status pendengaran sebenar bayi.
– Garis panduan yang biasanya digunakan ialah 1, 3, 6 iaitu saringan seawal satu bulan selepas bayi dilahirkan, ujian diagnostik seawal tiga bulan dan rawatan atau intervensi sebelum bayi berusia enam bulan.
– Masalah dalam pertuturan selalunya menjadi petanda kepada masalah lain yang lebih serius seperti masalah pendengaran atau masalah kelakuan sebagai contoh autism.
Tanda-tanda bayi atau kanak-kanak mempunyai masalah pendengaran
– Tidak memberi tindak balas terhadap bunyi yang kuat seperti guruh.
– Tindakbalas yang tidak konsisten terhadap bunyi dan suara ibubapa.
– Tidak mempeduli atau respon walaupun dipanggil berulang kali.
– Kurang memberikan perhatian dan kerap hilang fokus sama ada di kelas atau tadika.
– Sering salah faham dalam memahami arahan dan banyak menggunakan isyarat tangan seperti menunjuk. – MalaysiaGazette