Hee Sem (kanan) ketika membuat tinjauan sekitar Empangan Durian Tunggal, ALor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Kerajaan negeri meluluskan dasar baharu peluasan zon penampan daripada 500 meter kepada 200 meter dari tanah rezab empangan untuk mengusahakan tanaman bersyarat.

Ia sekaligus membolehkan kira-kira 1,000 petani di kawasan berhampiran Empangan Durian Tunggal memohon pelanjutan tempoh pajakan tanah di kawasan berkenaan yang ditangguhkan selama tiga tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, dasar baharu itu diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 13 September lalu.

“Kerajaan negeri sebelum ini menolak semua permohonan lanjutan pajakan khususnya kawasan pertanian termasuk Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang berhampiran zon penampan sejauh 500 meter.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh kerana meluluskan dasar baharu ini daripada 500 meter kepada 200 meter,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan sekitar Empangan Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, permohonan lanjut tempoh pajakan tanah itu hanya dibenarkan bagi kawasan tanah dalam kawasan 101 sehingga 200 meter dari tanah rezab empangan.

Menurutnya, ia melalui prosedur penyerahan keseluruhan tanah dan pemilikan semula di bawah Seksyen 197 dan 76 Kanun Tanah Negara 1965.

Mengikut Seksyen 90A, Seksyen 197 dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara, kawasan dalam jarak 500 meter tidak boleh dibangunkan kerana dibimbangi mendatangkan pencemaran air.

Menurutnya kerajaan negeri terpaksa mengehadkan permohonan pajakan daripada 500 meter kepada 200 meter bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem kawasan tadahan air di empangan berkenaan yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar tahap satu (KSAS1).

“Namun dengan kelonggaran baharu ini, ia memberi nafas lega kepada petani untuk mengusahakan tanaman mereka tetapi dengan bersyarat,” katanya – MalaysiaGazette.