Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada Forum Minggu Negarawan Perpaduan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 13 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pengendali media sosial Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti terhadap bekas perdana menteri itu agar membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Pihaknya berkata, terdapat banyak hantaran berunsur fitnah mahu pun palsu dibuat tanpa bukti melalui akaun media sosial X.

“Jika tuduhan-tuduhan terhadap Dr Mahathir itu ada bukti dan berasas, sila lapor pada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil. Jika dibawa ke mahkamah beliau dapat pertahankan dirinya.

“Sebaliknya jika tidak mahu buat laporan kepada pihak berkuasa, sila dedah identiti sebenar supaya pihak kami boleh ambil tindakan undang-undang berkait fitnah. Jika ada bukti boleh dikemuka ketika di mahkamah,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut merujuk kepada satu laporan media asing yang mendedahkan mengenai Dr Mahathir terlibat dengan pengubahan wang haram secara rahsia di Taiwan sewaktu beliau masih menyandang portfolio Perdana Menteri.

Laporan oleh media Taiwan, news.ebc.net berdurasi satu minit 38 saat mendakwa perbuatan itu dilakukan sekitar 1984 hingga 1999.

Dakwa news.ebc.net, ia melibatkan sejumlah RM830 bilion.

Media sebelum ini melaporkan pempengaruh di X, CikyAnie yang menggunakan handle @lady_bugg11 berkata, isu berkenaan sebenarnya sudah didedahkan sejak 2021 namun tidak diberi perhatian oleh media Malaysia.

“Pendedahan media Taiwan mengesahkan Dr Mahathir terlibat pengubahan wang haram sejak tahun 1984 hingga 1999 secara rahsia ke Taiwan Bank berjumlah RM830 bilion.

“Isu ini dah keluar sejak 2021 tapi tak disambut. Apakah mungkin kali ini (Dr) Mahathir akan membiarkan pendedahan black money oleh media di Taiwan,” katanya menerusi ciapan di aplikasi X. – MalaysiaGazette