LONDON – Manchester United mengesahkan pertahanan kanannya, Aaron Wan-Bissaka akan berehat panjang selepas mengalami kecederaan sewaktu menentang Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lalu.
United kini sedang dalam persiapan untuk bertandang ke laman Bayern Munich bagi perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok selepas mereka tewas 1-3 kepada Brighton dan sedang mengalami masalah kecederaan yang kian meruncing.
“Penilaian lanjut akan diperlukan untuk menentukan berapa lama Wan-Bissaka akan direhatkan tetapi petunjuk awal memperlihatkan ia akan mengambil masa beberapa minggu,” kata United dalam satu kenyataan.
Pasukan bimbingan Erik ten Hag itu ketika ini melalui permulaan musim yang cukup mencabar selain masalah kecederaan termasuk masalah disiplin pemain di luar padang yang turut menjejaskan prestasi dan keputusan mereka.
Sebelum ini, dua pertahanan kanan, Luke Shaw dan Tyrell Malacia terpaksa berehat kerana kecederaan termasuk pertahanan tengah, Raphael Varane, manakala pemain baru, Sofyan Amrabat, masih belum dapat melakukan penampilan pertamanya gara-gara masalah sama.
Mason Mount dalam pada itu, tidak pernah diturunkan sejak mengalami kecederaan sewaktu menentang Tottenham bulan lalu sambil Kobbie Mainoo, Amad Diallo dan Tom Heaton juga terpaksa diketepikan.
Lebih merumitkan, Jadon Sancho sedang digantung daripada skuad utama kerana masalah disiplin manakala Antony pula direhatkan sehingga dakwaan melakukan kekerasan terhadap bekas kekasihnya selesai. – Agensi