Bekas Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO.
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Tan Sri Anifah Aman melahirkan kebimbangan terhadap keciciran Wilayah Persekutuan Labuan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan rakyat di pulau itu memerlukan perhatian dan peruntukan sewajarnya terutamanya daripada segi kemudahan asas seperti bekalan elektrik serta air.

“Sekiranya masalah ini gagal ditangani dengan sempurna, adalah sukar untuk kita hendak menarik orang luar berniaga di Labuan dan seterusnya menjadikan Labuan sebagai destinasi pilihan para pelabur asing.

“Kita tahu bahawa hanya dengan kemasukan pelaburan asing, ekonomi akan dapat berkembang pesat dan mencipta peluang pekerjaan selain menjadi economic spin-offs yang akan menjana aliran tunai dan akan memanfaatkan penduduk Labuan,” katanya pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Dewan Rakyat telah meluluskan usul KSP RMK12 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM415 bilion.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, hasrat Perdana Menteri yang sentiasa menitikberatkan isu kemiskinan tegar tidak akan dapat direalisasikan tanpa infrastruktur dan keperluan asas yang lengkap.

“Di Sabah, terutama di kawasan bandar, Kerajaan Persekutuan seharusnya memberi lebih banyak peruntukan kepada kerajaan negeri untuk pembangunan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah.

“Masalah kekurangan rumah mampu milik di kawasan urban Sabah memerlukan tindakan segera,” ujarnya.

Kata beliau, isu dihadapi oleh Sabah dan Labuan bukan perkara baharu namun belum nampak jalan penyelesaiannya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast