KUALA LUMPUR – Selaras dengan Jualan Rahman Beras yang digerakkan Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Negeri Selangor hari ini menggerakkan jualan beras bagi 5 kilogram.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, kerajaan negeri akan menjual beras bagi 5 kilogram pada harga RM13 untuk rakyat negeri itu.
“Jualan ini akan dilaksanakan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) di 4 outlet PKPS serta 3 lokasi jualan bergerak pada setiap hari sehingga bulan Disember 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Amiruddin berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor (KSPDS) berhubung kekurangan stok di kedai dan pasaran.
“Kepada rakyat Selangor, jika terdapat sebarang masalah bekalan, anda boleh menghubungi KSPDS di talian 03-32898419 ataupun 017-2230771 untuk bercakap secara terus ataupun melalui aplikasi WhatsApp.
“Kerajaan Negeri melalui KSPDS komited untuk mengambil tindakan dalam tempoh masa 24 jam bagi mengatasi aduan bekalan beras putih tempatan,” ujar Amiruddin.
Beliau berkata, bekalan beras putih tempatan akan mula stabil bermula Oktober depan dengan pengeluaran semula padi di utara Semenanjung Malaysia serta negeri Selangor mula dituai.
“Tambahan kepada langkah kawalan harga siling penjualan beras putih tempatan oleh kerajaan persekutuan,” kata Amiruddin.
Kapasiti pengeluaran beras di Selangor adalah 138,903.13 tan metrik setahun di atas tanah berkeluasan 18,061.53 hektar melibatkan 6,871 orang pesawah.
Jumlah itu bersamaan dengan pengeluaran 4.19 tan metrik bagi setiap hektar.
“Sehubungan dengan itu, keperluan Beras Putih Tempatan di negeri Selangor adalah sebanyak 45,500 tan metrik sebulan.
“Mengikut keperluan bulanan ini, stok BPT di negeri Selangor adalah mencukupi sehingga penghujung September 2023,” katanya. – MalaysiaGazette
Kalaulah negeri2 diutara yang miskin dapat naikkan sedikit harga beras disebabkan kenaikan kos minyak jentera dan pump saliran yang tinggi, kos minyak kilang padi yang tinggi, kos buruh meningkat, kos maintenance jentera dan saliran yang tinggi, kos baja dan racun yang tinggi, diharap negeri2 kaya dan maju diselatan dapat menerima dengan hati terbuka.
Negeri2 miskin juga berhak untuk dapatkan sedikit keuntungan. Dah lama negeri2 miskin beri subsidi kepada negeri2 kaya dan maju.
Pertanian adalah perniagaan, peace.