Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Mohd Zaid Ibrahim telah dirakam keterangan oleh polis di ibu negara hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan perkara itu berkata, kedua-dua pemimpin politik itu telah dirakam percakapan mereka di dua lokasi berlainan.

Katanya, polis telah merakam keterangan daripada Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional di pejabat Perikatan Nasional yang terletak di Bangunan MIDA, Kuala Lumpur Sentral.

“Saya boleh sahkan bahawa dua personaliti politik bernama Muhyiddin Yassin iaitu mantan perdana menteri dan juga Mohd Zaid Ibrahim telah diambil keterangan hari ini.

“Muhyiddin selesai diambil keterangan di pejabat MIDA KL Sentral manakala Zaid datang sendiri ke pejabat kami di Bukit Aman untuk dirakam keterangan dan kesemuanya selesai hari ini,” katannya dalam sidang media khas hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, Muhyiddin telah disiasat ekoran satu kenyataan yang dibuat awal September ini yang berbunyi “Melayu pada hari ini tidak lagi akan menguasai kerajaan, maknanya orang Melayu sudah hilang kuasa sedar atau pun tidak, betul atau pun tidak” semasa terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil  Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram di Johor.

Dalam konteks berkenaan, katanya, seramai lima saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan tersebut.

Manakala Zaid pula, katanya, dipanggil untuk dirakam keterangan kerana ciapan beliau dalam akaun X bertarikh 30 Ogos 2023.

“Kita terpaksa mengambil sedikit masa untuk memanggil Mohd Zaid untuk merakam percakapan kerana terpaksa sahkan terlebih dahulu profiling itu ciapan akaun sah dibuat orang disyaki iaitu Zaid Ibrahim sendiri.

“Alhamdulillah kedua-dua personaliti politik itu telah memberi kerjasama yang baik menjawab kesemua soalan yang diajukan pegawai penyiasat dari USJT dengan menjawab pandangan mereka dan ini pendekatan yang saya rasa amat profesional dan bertanggungjawab.

“Saya secara peribadi mahu jelaskan bahawa isu 3R (Agama, Kaum dan Institusi Diraja) menjadi hangat disebabkan adanya telekomunikasi boleh mencapai kepada ramai.

“Justeru itu, kita lihat perkara ini boleh ganggu gugat keselamatan negara sekiranya disalahtafsir orang ramai sebab itu kita siasat.

“Kita akan melengkapkan kertas siasatan mereka dan sejurus selesai akan diangkat kepada pejabat pendakwaraya (tindakan lanjut),” tegasnya.

Mohd Zaid disiasat mengikut Seksyen 223 Akta Hasutan 1948.-MalaysiaGazette