SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengadakan perbincangan segera bersama pengilang dan pemborong untuk menambah stok Beras Putih Tempatan (BPT) ke cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bagi mengelak kekecohan seperti yang berlaku di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datoh, Perak tidak berulang.
“Saya telah mengarahkan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras (KPB) berbincang segera dengan pengilang dan pemborong untuk menambah stok-stok BPT kepada pihak FAMA dan LPP.
“Langkah itu perlu dibuat supaya insiden seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas tentang kekecohan semalam, Mohamad berkata, hanya dua daripada 35 cawangan FAMA yang menjual BPT yang mengalami sedikit kekecohan.
Antara dua cawangan terbabit ialah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datoh, Perak.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kekecohan itu disebabkan oleh bekalan yang sampai tidak mencukupi dan menyebabkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati kerana telah menunggu lama.
“Saya juga telah mengarahkan bekalan BPT segera dihantar ke semua pasar raya supaya orang ramai tidak hanya tertumpu kepada cawangan FAMA dan LPP,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan supaya membeli beras mengikut keperluan dan tidak menyimpan stok supaya lebih ramai pengguna dapat membeli BPT.
“Semalam ada pembeli yang menggunakan empat orang berbeza untuk membeli sehingga lapan kampit BPT 10 kilogram. Sedangkan dua kampit 10 kilogram sudah cukup untuk kegunaan dirinya sekeluarga.
“Jangan khuatir kerana dari semasa ke semasa stok BPT akan dihantar ke pasaraya dan bekalan dijangka kembali stabil dalam beberapa minggu lagi.
“Saya juga ingin menasihatkan peniaga kecil-kecilan seperti penjual nasi lemak, pengusaha kantin serta pusat tahfiz supaya berhubung dengan FAMA dan LPP bagi menempah bekalan BPT yang diperlukan.
“Sehingga kini, FAMA telah mengedarkan 244 metrik tan (mt) BPT ke seluruh negara menerusi cawangan usahawan bimbingan FAMA,” katanya lagi – MalaysiaGazette