KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan individu yang menghantar e-mel kepada seorang pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) yang mendakwa terdapat bahan letupan di bangunan Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, semalam
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, polis telah membuka kertas siasatan dan meneruskan siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan (ugut) bagi mengesan punca e-mel tersebut.
“Semalam ada pegawai BNM menerima emel yang mengatakan ada ancaman bom bagaimanapun membuat tugasan flushing kawasan itu menggunakan pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB).
“Selepas lebih dua jam melakukan tugasan flushing kita mendapati tiada sebarang bahan letupan ditemui dan kawasan itu diisytiharkan selamat.
“Jadi selepas ini, kita akan siasat dari mana datangnya sumber e-mel tersebut,” katanya ketika diminta mengulas mengenai siasatan kes tersebut pada sidang media Operasi Patuh Hormat Peraturan Jalanraya di Jalan Ampang, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Ancaman bom di BNM: Polis tidak temui objek mencurigakan
Sebelum ini, tular mesej mengenai ancaman bom di bangunan BNM dan kakitangan bank pusat itu diminta bekerja dari rumah susulan penutupan sementara premis tersebut.
Menurut Allaudeen, pihaknya akan mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Cyber Security Malaysia untuk menjejaki punca e-mel tersebut. – MalaysiaGazette