Allaudeen diiringi Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Supritendan Mohd Hafiz Shamsuddin melawat kawasan kemalangan di Putrajaya semalam.- Gambar FB IPD Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Polis akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dan perdagangan di sekitar ibu negara bermula hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, langkah itu diambil berikutan kemalangan membabitkan sebuah lori merempuh 14 kenderaan di Putrajaya semalam mengakibatkan dua penunggang motosikal meninggal dunia.

Katanya, operasi penguatkuasaan ke atas kenderaan berat itu akan lebih tertumpu di semua laluan keluar dan masuk ibu negara dan Putrajaya.

“Mulai hari ini kita tingkatkan operasi ke atas kenderaan berat dan komersial dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) khususnya, di samping operasi harian yang memang sudah dijalankan.

“Operasi ini akan dipertingkatkan di laluan-laluan masuk kerana kemalangan semalam contohnya berlaku di laluan masuk dari Puchong, Selangor,” katanya pada sidang media Op Hormat Undang-undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Hadir pada sidang media itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya.

Dalam kejadian jam 10.14 pagi semalam, dua penunggang motosikal maut manakala tujuh cedera apabila sebuah treler merempuh 14 kenderaan, termasuk mosotikal anggota trafik, di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong.

Sebelum kejadian, anggota trafik dikatakan memberhentikan kenderaan di lokasi yang mana ia merupakan sebahagian daripada latihan awal untuk persiapan perlumbaan basikal, Le Tour de Langkawi (LTdL).

Allaudeen yang menyifat kemalangan itu sebagai satu tragedi malang berkata, ketika itu aliran trafik tidak sibuk dan anggota bertugas memberhentikan aliran trafik mengikut prosedur yang  ditetapkan.

“Saya suka ingatkan kepada semua pemandu perlu bertanggungjawab di atas jalan raya dan sentiasa tumpulan perhatian.

“Ini kerana kalau ada sebahagian yang mengambil ringan (undang-undang) dengan bercakap di telefon semasa memandu dan sebagainya ia boleh mengakibatkan kemalangan.

“Malah penggunaan aplikasi navigasi pada telefon pintar boleh mengakibatkan kemalangan kerana dalam keadaan itu (melihat telefon) tindak balas kita menjadi lambat di atas jalan raya,” ujarnya.

Sementara itu, Allaudeen berkata, permohonan reman ke atas pemandu treler berusia 25 tahun itu bagi membantu siasatan akan dilakukan di mahkamah hari ini.

Katanya, pihaknya masih menunggu laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom) bagi melengkapkan siasatan.

“Apa pun kita perlu pastikan siasatan terperinci dijalankan sebelum dapat membuat sebarang kesimpulan terakhir mengenai punca kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dah trlampau byk kes lori2 ni langgar kenderaan lain, hampir setiap minggu, lps ni setiap hari. Namun tindakan tak seberapa. Mungkin kah ada amalan rasuah pemandu tokey pemilik lori dgn polis trafik?

Comments are closed.