KUALA LUMPUR – Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mewujudkan ekosistem ekonomi baharu negara.
Fokus utama Memperkukuhkan Kemampanan yang mengetengahkan tiga anjakan besar membolehkan kerajaan mengaturkan semula ekonomi.
Tiga anjakan besar tersebut adalah Kemampanan fiskal dan sistem kewangan, Industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) berasaskan peralihan tenaga dan Subsidi bersasar.
Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPM) Prof. Dr. Hassan Abu Bakar berkata, Kemampanan fiskal dan sistem kewangan membolehkan pengurusan perbelanjaan negara dilakukan secara berhemah melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan yang bakal digubal.
“Dengan akta ini ada had siling perbelanjaan untuk menteri kewangan atau perdana menteri berbelanja mengikut kemampuan.
“Akta perolehan akan mencipta keterbukaan dan ketelusan. Ini sekali gus membuka persaingan kepada pihak yang mahu merebut sesuatu projek. Bila ada persaingan dan keterbukaan ia juga bermakna pihak-pihak ini akan menawarkan harga yang dan lebih rendah,” kata beliau.
Lebihan wang daripada pengurusan yang cekap boleh diguna misalnya bagi pengambilan lebih ramai doktor dan guru ke jawatan tetap serta memantapkan kemahiran tinggi kepada rakyat.
Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, UKM (MINDA- UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kedua-dua akta sangat penting dalam membetulkan kedudukan fiskal negara.
Katanya, kewangan negara bergantung kepada hasil daripada cukai dan cara perbelanjaan.
“Bila hasil tak cukup bagus, perbelanjaan kita pula terlalu membebankan maka timbul isu kita kena berhutang. Bila nak buat projek pembangunan terpaksa berhutang. Bila tolak belanja mengurus hasil tinggal sedikit sahaja.
“Bererti kalau nak bina sekolah, jambatan, bangunan, lapangan terbang, pelabuhan dan semua pembangunan menyebabkan kita berhutang. Akta ini memastikan pengurusan perbelanjaan kewangan kerajaan lebih tata kelola dalam membuat keputusan untuk apa, siapa dapat dan sebagainya,” kata beliau.
Tan Sri Noor Azlan juga yakin Malaysia mampu menjadi pusat kewangan Islam global kerana mempunyai asas perbankan Islam yang kukuh selain menjadi pelopor dalam kewangan Islam sekian lama sehingga menjadi rujukan banyak pihak luar.
Beliau menyarankan Malaysia meneroka idea baru kewangan Islam termasuk memberi pembiayaan kepada syarikan pemula.
“Bagimana dalam sistem kewangan Islam kita mahu membiayai syarikat pemula? Itu satu idea yang baharu.
“Kalau kita menjadi pusat maksudnya kita menjadi tumpuan dunia, aliran modal akan berpusat di Malaysia. Setiap industri akan menghasilkan rantaian contoh sistem perbankan ada sistem komputer, data.
“Katakanlah kita berjaya membiayai syarikat pemula yang bagus, bererti syarikat pemula akan datang ke Malaysia,” kata Tan Sri Noor Azlan.
Industri HGHV berasaskan peralihan tenaga
Mengenai Industri HGHV berasaskan peralihan tenaga, menurut Hassan, ia akan memberikan manfaat kepada negara dalam jangka masa panjang kerana Malaysia mempunyai sumber semula jadi yang boleh dimanfaatkan dan tidak hanya bergantung kepada minyak semata-mata.
Dekan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Businesss Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur itu berkata, negara maju termasuk Amerika Syarikat boleh dijadikan contoh untuk diikuti kerana sektor teknologi hijau ternyata memperkukuhkan kemampanan ekonomi.
“Menjelang Barack Obama tamat penggal sebagai Presiden Amerika Syarikat tiba-tiba harga minyak jatuh. Tahu kenapa harga jatuh? Sebab ketika itu Amerika Syarikat hanya menggunakan 70 peratus tenaga elektrik menggunakan minyak kepada tenaga boleh baharu.
“Kita sudah kena berani buka langkah kerana kita tahu polisi dahulu sejak merdeka tidak boleh lagi digunakan untuk membolehkan kita bergerak ke hadapan. Kalau sama sahaja kita akan kekal begini,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan ‘carbon pricing’ yang telah lama diperkenalkan di Eropah. Melalui pelaksanaan ini, individu dan syarikat dikenakan caj yang kemudiannya digunakan semula bagi penjagaan alam sekitar dan manfaat untuk rakyat.
“Misalnya kita daftar masuk beg untuk penerbangan. Beban beg itu turut menyumbang penggunaan bahan bakar kapal terbang yang menyebabkan pelepasan karbon ke alam sekitar.
“Ada kaedah pengiraan mengenai pelepasan karbon berdasarkan berat beg berkenaan. Inilah caj tambahan yang dikenakan ke atas penumpang,” jelas Hassan sambil menambah caj sama boleh dikenakan ke atas sektor industri.
Subsidi bersasar
Pakar ekonomi bersetuju supaya kerajaan melaksanakan segera pemberian subsidi secara bersasar. Tan Sri Noor Azlan berkata, subsidi kini menjadi cabaran besar terhadap ekonomi negara.
Jelas beliau, pemberian subsidi telah mendorong sikap pengguna untuk terlalu bergantung kepada kerajaan. Ini menyebabkan pentadbiran negara terpaksa mengorbankan projek pembangunan lain kerana wang disalurkan untuk subsidi.
“Kita perkenalkan polisi subsidi sudah berpuluh tahun. Pada mula niatnya betul. Masa mula kita perkenal subsidi minyak mungkin pada waktu itu satu kampung satu kereta hari ini satu rumah empat kereta. Polisi sama masih berkekalan.
“Akibatnya kita terperangkap. Ia mula menjadi bebanan kepada kerajaan. Kita kena ingat subsidi ini belanja hangus. Kalau kita guna RM80 bilion bina sekolah ia akan bertahan. Kalau tahun ini kita guna subsidi minyak RM30 bilion, tahun depan kena bayar lagi dan seterusnya.
“Tambah kita reka subsidi itu menjadi blanket, isi minyak pergi kerja dapat subsidi, isi minyak untuk merompak pun dapat subsidi. Maksudnya tak kira siapa semua dapat. Akhirnya menjadi beban,” jelas Tan Sri Noor Azlan.
Mengenai usaha kerajaan mewujudkan Pangkalan Data Utama (PADU) bagi membolehkan subsidi diberikan kepada yang benar-benar memerlukan, beliau berkata, ia adalah satu langkah bijak.
Ini kerana berdasarkan pengalaman, adakalanya bantuan tanpa menilai keperluan seseorang atau sesebuah keluarga boleh menyebabkan pembaziran dan tidak mendatangkan manfaat.
“Kalau satu keluarga yang susah, empat orang anak dia masuk universiti dan satu keluarga lagi juga susah empat orang anak dia semua ada di tadika. Satu keluarga itu kita boleh beri komputer yang satu lagi diberi bantuan lain seperti kain lampin atau bantuan untuk persekolahan. Ini bersasar.
“Bila tidak bersasar saya pernah pergi satu projek perumahan rakyat. Orang datang beri ketuhar sebab nak bantu orang miskin.Makcik itu nak buat kuih pun tak tahu. Nak jual pada orang sebelah, dia pun dapat ketuhar. Jadi ini bukan bersasar. Kalau dia pandai menjahit berilah mesin jahit. Bersasar,” jelas beliau.
KSP RMKe-12 yang dibentangn Perdana Menteri di Dewan Rakyat mengenal pasti 17 Anjakan Besar dan 71 strategi untuk memangkin pembangunan sosioekonomi dalam tempoh akhir rancangan tersebut pada 2025.
Kajian itu mengandungi dasar dan strategi yang disemak semula ke arah mencapai wadah ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ yang akan mengembalikan maruah dan martabat rakyat serta membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan sejahtera.-MalaysiaGazette