Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Cadangan melarang warga asing membeli beras tempatan sebenarnya tidak menyelesaikan masalah kekurangan bekalan makanan itu yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, sepatutnya kerajaan mengambil iktibar dan belajar daripada krisis bekalan telur pada awal tahun ini.

“Ini bukan soal larangan jual beras kepada warga asing tapi ini menunjukkan kerajaan benar-benar gagal dan tidak mampu menyelesaikan masalah bekalan beras.

“Malah larangan agar warga asing daripada membeli beras tempatan adalah tidak masuk akal.

“Adakah negara kita ini terlalu teruk hingga warga asing yang tinggal di sini tak boleh makan beras daripada padi yang ditanam di negara kita?

“Apakah kita hidup di zaman 1960-an hingga beras pun tak cukup untuk rakyat negara kita makan dan terpaksa pula larang warga asing beli beras tempatan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menyarankan supaya beras tempatan tidak dijual kepada warga asing ketika negara berdepan krisis kenaikan harga barangan makanan asas itu.

Dr Aleef juga berkata, situasi yang dihadapi negara ini adalah jauh lebih teruk berbanding ketika zaman 1960-an.

“Jelas kerajaan dan menteri tidak cekap dan tidak mampu menyelesaikan masalah beras ini. Sedangkan mereka telah mempunyai pengalaman dengan masalah bekalan telur tetapi tidak belajar dari permasalahan tersebut.

“Adalah amat memalukan apabila melihat orang ramai terpaksa beratur dan berebut-rebut untuk membeli beras tempatan,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan digesa menangani masalah berkenaan dengan kadar segera dan dalam masa sama tidak mengambil pendekatan melarang warga asing untuk membeli beras tempatan.

“Langkah tersebut tak betul dan tak selesaikan masalah. Sepatutnya kerajaan telah bersiap sedia menangani isu bekalan semua bahan mentah makanan selepas melalui igauan buruk dengan masalah bekalan telur beberapa bulan lalu.

“Kerajaan sepatutnya membuat persiapan paling rapi terhadap semua bahan mentah termasuk beras.

“Kini yang tanggung derita adalah rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli beras import,” katanya lagi. – MalaysiaGazette