KUALA LUMPUR – Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) tidak pernah bermusuh dengan mana-mana parti kaum India khususnya MIC.
Presidennya, Datuk Seri R S Thanenthiran berkata, walaupun Makkal Sakti dan MIC mempunyai perbezaan politik namun ia tidak menghalang kedua-dua parti bekerjasama untuk menyatupadukan masyarakat India.
“Kita boleh ada perbezaan dalam cara dan melakukan sesuatu tetapi ia tidak sepatutnya jadi halangan kepada kita untuk bersama menjayakan agenda untuk memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dan menjadi teras perpaduan.
“Kerajaan Perpaduan harus bermula dari rumah kita sendiri, ini rumah kita untuk memastikan agenda perpaduan ini agar berterusan dan memperkasakan, maka kita ingin meneruskan agenda menyatupadukan rakyat,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn hari ini.
Terdahulu Thanenthiran mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Makkal Sakti Pusat dan perjumpaan bersama Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran.
Dalam pada itu, Thanenthiran berkata, perbezaan pendapat antara pemimpin politik yang menyebabkan perpecahan kaum hanya merugikan negara.
“Makkal Sakti sedia bekerjasama untuk kepentingan rakyat dan memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat selari dengan laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami pemimpin telah melihat perpecahan kaum, perbezaan pendapat, ini akan merugikan pembangunan negara, kita harus selesaikan di meja rundingan,” katanya.
Katanya lagi, cadangan penubuhan sekretariat antara Makkal Sakti dan MIC diharapkan melegakan rakyat yang sering dimomokkan dengan kepentingan politik peribadi berbanding rakyat.
“Kita harus sediakan satu platform supaya rakyat tidak gusar melihat polemik politik ini kotor, politik ini jahat, kita tak boleh cakap politik sepanjang masa, ada masa kita perlu bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette