Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengakutan Jalan Malaysia (JPJ), Aedy Fadly Ramli memeriksa motosikal yang ditahan pada Operasi Penguatkuasaan Ops Bersepadu di Tol Awan Besar, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 222

KUALA LUMPUR – Kadar pematuhan peraturan keselamatan jalan raya oleh penunggang motosikal di negeri Selangor meningkat sehingga mencecah 60 peratus pada September ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata, menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan pihaknya mendapati sepanjang bulan ini mendapati tahap pematuhan kepada peraturan jalan raya oleh penunggang motosikal telah meningkat sebanyak 10 peratus.

“Pada minggu pertama pelaksanaan Op Bersepadu JPJ menyaksikan 50 peratus penunggang motosikal mematuhi peraturan yang ditetapkan atas jalan raya tetapi ia bertambah 10 peratus dan meningkat kepada 60 peratus pematuhannya pada minggu ketiga iaitu dalam tempoh 21 hari sahaja.

“Jadi hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebanyak 46,066 buah motosikal di Selangor terdapat sebanyak 18,533 keping notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan dalam tempoh berkenaan,” katanya pada sidang media pelaksanaan Op Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar menghala ke Kuala Lumpur malam tadi.

Tambah Aedy Fadly, JPJ Selangor juga berjaya mengesan sebanyak 6,398 kesalahan tiada insurans kenderaan dalam tempoh berkenaan.

“Manakala sebanyak 4,535 kesalahan lagi membabitkan tidak memiliki lesen memandu dan sebanyak 1,038 buah motosikal telah disita dalam operasi sama kerana diklasifikan sebagai tidak selamat digunakan di atas jalan raya.

“Jadi, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan tindakan tegas akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi meningkat keselamatan jalan raya dalam kalangan penggunanya,” katanya lagi.

Menurut beliau, operasi bersepadu yang dijalankan di Plaza Tol Awan Besar malam tadi juga menyasarkan pelbagai kesalahan oleh pengguna jalan raya serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan mereka.

Tegasnya, antara tujuan pelaksanaan operasi berkenaan adalah untuk mengesan pemandu kenderaan yang menggunakan barang terlarang dan kesalahan dadah serta memastikan kenderaan yang berada di atas jalan raya selamat digunakan.

Ia juga bagi mengesan kenderaan terlibat dalam kegiatan jenayah khususnya kecurian kenderaan.

“Saya juga ingin memaklumkan dalam usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian atas jalan raya JPJ akan terus mengukuhkan lagi usaha melalui strategi tindakan penguatkuasaan bagi mendidik masyarakat untuk sentiasa berhemah semasa memandu untuk elak risiko kecuaian.

“Dalam operasi pemeriksaan pelbagai kenderaan bermula 8.30 malam sehingga 10 malam  sebanyak 1,458 kenderaan telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 668 buah kenderaan telah diambil tindakan manakala sebanyak 856 notis saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

“Jika kita lihat dalam operasi malam ini, jenis kesalahan yang paling banyak dikesan dan diambil tindakan oleh JPJ adalah membabitkan pengguna yang tidak memiliki lesen dan cukai jalan iaitu sebanyak 281 kes yang diambil tindakan saman,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan pihaknya sedia maklum mengenai isu orang ramai akhir-akhir ini mengecam tindakan JPJ menguatkuasakan undang-undang seperti tidak mempunyai cukai jalan dan tidak mempunyai lesen memandu sah.

Tetapi, katanya, tindakan JPJ itu demi kebaikan semua pihak kerana jika satu kenderaan tidak mempunyai insurans atau cukai jalan, ia bukan sekadar membahayakan pemandu itu sendiri malah dia turut membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Jadi inilah kenapa JPJ sangat mementingkan supaya tindakan perlu diambil ke atas pesalah jalan raya yang mana kita terpaksa menyita kenderaan atau motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan atau insurans.

“Ia bertujuan untuk mengelak mangsa yang tidak bersalah, orang ramai yang berada di jalan raya menjadi mangsa kemalangan yang bukan kesalahan dia sendiri,” jelas beliau. – MalaysiaGazette