Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengakutan Jalan Malaysia (JPJ), Aedy Fadly Ramli bercakap kepada media pada Operasi Penguatkuasaan Ops Bersepadu di Tol Awan Besar, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 222

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam proses menyiapkan laporan audit pemeriksaan keselamatan jalan raya dalam siasatan insiden kemalangan membabitkan 14 kenderaan di Putrajaya pada 20 September lalu.

Dalam kemalangan itu dua penunggang motosikal maut manakala ramai cedera.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Malaysia, Aedy Fadly Ramli mengesahkan pihaknya juga terlibat dalam jawatankuasa penyiasatan insiden kemalangan itu.

“Ya, (JPJ) terlibat, kita ada laporan pemeriksaan audit keselamatan jalan raya yang mana kita telah menyediakan laporan tersebut dan laporan itu kini sedang dimurnikan.

“Pada hari Isnin minggu depan, kita akan menyerahkan laporan lengkap yang siap sepenuhnya itu kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang media Operasi Bersepadu JPJ di sini malam tadi.

Beliau sebelum itu memantau Ops Bersepadu JPJ pematuhan peraturan Jalan Raya bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Plaza Tol Awan Besar Timur (Arah Kuala Lumpur) bermula 8.30 malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JPJ juga menerima arahan Menteri Pengangkutan untuk melaksanakan siasatan mendalam dan telus mengenai nahas jalan raya itu.

“Kita baru sahaja telah menerima laporan mengenai kemalangan maut itu daripada PDRM semalam. Jadi selepas terima laporan siasatan polis itu, kita buat siasatan dan akan menyerahkan laporan penuh itu nanti kepada APAD pada Isnin minggu depan untuk tindakan dan arahan lanjut,” tegasnya.

Menurut Aedy, antara tugas yang dikendalikan pasukan penyiasat JPJ dan bukan sekadar melihat kawasan kemalangan di lapangan.

“Kita  akan siasat sehingga ke tempat lori itu mengambil bahan-bahan untuk dimuat naik dalam lori sebelum bergerak.

” Jadi, pasukan penyiasat JPJ kita sudah pergi ke tempat lori itu bermula mengambil bahan dan bukan setakat siasat di kawasan kemalangan sahaja,” tegasnya.

Selepas kejadian pada pagi 20 September lalu, pemandu lori berat iyang terselamat dalam kemalangan terbabit telah ditahan reman oleh polis selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya bermula Khamis lalu untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

APAD juga telah mengemukakan surat tunjuk sebab mengenai tragedi itu kepada pengendali lori tersebut. – MalaysiaGazette