Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto WAN NABIL NASIR, 12 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 15,786 individu atas pelbagai kesalahan jenayah komersial menerusi 14,046 operasi yang dilaksanakan antara Januari hingga Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah individu itu sebanyak 9,898 pertuduhan dilakukan di mahkamah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Katanya, sebanyak 117 kes telah dibuka membabitkan kes jenayah pengubahan wang haram

“JSJK telah mengambil tindakan pembekuan pelbagai aset termasuk akaun dan harta yang bernilai RM106,048,673.73,” katanya semasa menyampaikan amanat Ketua Polis Negara Tan, Sri Razarudin Husain pada  Perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman pagi tadi.

Menurut Ayob Khan, polis turut  membuat penyitaan berjumlah RM249.336 juta dan sebanyak lima kes didakwa di mahkamah.

“Kita juga mendapati trend semasa jenayah komersial memperlihatkan lebih 50 peratus kes yang direkodkan saban tahun adalah terdiri daripada kes penipuan dalam talian atau online scam,” ujarnya.

Menurut Ayob Khan, kemajuan teknologi turut menyumbang kepada peningkatan jenayah siber dan polis perlu bergerak selangkah ke hadapan bagi mencegahnya. – MalaysiaGazette