KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada bulan depan.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya telah memberikan beberapa keutamaan kepada MoF yang akan diletakkan dalam belanjawan akan datang.
“Ada juga kita nak meneruskan usaha-usaha yang telah kita lakukan di peringkat kementerian dan kita memerlukan bajet yang berterusan daripada program-program yang kita lakukan pada tahun ini insya-Allah.
“Antara bajet yang kita minta diteruskan adalah kita ada 436 klinik daif yang kita telah kemukakan untuk tambah baik. Pada tahun hadapan ada lebih 300 lagi (klinik daif) dan kemudian Skim Perubatan Madani kita minta penerusan dan lainnya ada lagi tentang peruntukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap KKM akan menerima peruntukkan yang lebih pada Belanjawan 2024 nanti berbanding Belanjawan 2023 yang diterima sebelum ini sebanyak RM36.3 bilion.
Mengulas mengenai kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung isu kesihatan mental dalam kalangan petugas kesihatan yang membimbangkan dan sebagai ‘bendera merah’, Dr Zaliha berkata, pihaknya sentiasa memberi keutamaan mengenai perkara tersebut kepada petugasnya yang dilihat semakin ketara selepas penularan Covid-19.
“Kepada petugas kesihatan, kita ada unit khas untuk mereka jika ada apa-apa permasalahan di tempat kerja dan sebagainya. Mereka boleh pergi ke unit khas tersebut untuk mendapatkan kaunseling dan sebagainya,” ujarnya,
Ahli Parlimen Sekijang itu turut akui isu kesihatan mental sentitasa ada dalam kalangan petugas kesiatan dan pihaknya sentiasa menerima apa sahaja pandangan termasuklah daripada MMA.
Jelasnya lagi, mereka juga boleh mengemukakan pandangan kepada KKM bagi memberi penambaikan kepada sistem di negara ini. – MalaysiaGazette