Tanaman bendi yang diusahkan pekebun di Kampung Masjid, Teluk Kumbar dinaiki air susulan banjir kilat hari ini.

TELUK KUMBAR – “Setiap kali hujan lebat mesti hati gelisah kerana bimbang tanaman musnah disebabkan banjir kilat dan perkara ini berulang setiap tahun,” luah Chong Keng Hong, 62.

Menurut pekebun tanaman sayur-sayur di Kampung Masjid, di sini, dia terpaksa menanggung kerugian RM20,000 saban tahun kerana banjir kilat akan melanda kawasan itu tiga hingga empat kali setiap tahun.

“Sudah 26 tahun saya usahakan tanaman sawi, terung, peria, bendi dan bayam di kawasan ini dan setiap kali hujan mesti timbul rasa takut tanaman musnah ditenggelami air.

Keng Hong.

“Jika banjir berlaku selesai musim tuai kerugian itu tidak tinggi  tapi jika ia berlaku ketika anak pokok baru disemai memang tidak dapat diselamatkan dan kerugian itu berjumlah ribuan ringgit,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Keng Hong, dia berharap kerajaan negeri mengambil langkah untuk menangani isu ini kerana bukan sahaja pendapatan mereka terjejas malah dia terpaksa bergelut cari modal selepas banjir.

Sementara itu, Khoo Say Kheaah, 80, berkata, tanamannya tidak ditenggelami air banjir sepenuhnya hari ini susulan mereka baru bersihkan tebing sungai berhampiran.

Say Kheaah.

“Nasib baik minggu lepas kami sudah bersihkan sungai serta naikan tebing lebih tinggi jika tidak mesti tanaman saya musnah sepenuhnya hari ini.

“Bagaimanapun, adakalanya nasih tidak menyebelahi saya kerana pernah berdepan situasi tanaman bendi, kacang panjang yang diusahakan saya musnah akibat banjir.

“Keadaan ini dilalui lebih 10 pekebun sayur yang mengusahakan tanaman di sini dan boleh dikatakan kami sudah lali namun apabila berdepan kerugian tinggi sudah pasti hati ini sedikit terusik memikirkan tiada jalan penyelesaian dilakukan meskipun isu banjir ini sudah banyak kali berlaku,” katanya.

Sungai berhampiran kebun sayur yang diusahakan Say Kheaah.

Menurut warga emas itu, sebagai pekebun dia harap kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz yang berhempas pulas mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang bagi isu banjir di kawasan Teluk Kumbar.

Terdahulu, lebih 20 buah rumah di Kampung Masjid dan Kampung Matahari Naik di sini, dilanda banjir kilat hingga paras betis berikutan hujan berterusan sejak jam 7 pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast