Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penunggang motosikal antara penyumbang kemalangan tertinggi sepanjang tempoh tiga tahun sejak 2021 sehingga Ogos 2023 dengan merekodkan sebanyak 9,854 kes.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, statistik kematian keseluruhan pula dicatatkan adalah 14,985 kes bagi tempoh yang sama.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 13,985 adalah kemalangan maut yang telah membawa kematian sebanyak 14,985. Jumlah itu kami sangat kesali kerana banyak sangat kemalangan yang melibatkan kematian.

“Kita juga lihat semua pegawai kami kerap melakukan operasi motosikal, operasi mat rempit sebagai langkah kita nak kurangkan (kematian), bagaimanapun ia tetap menyumbang hampir dua pertiga daripada jumlah kematian keseluruhan yang kami catit sepanjang tiga tahun kebelakang,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim.

Sementara itu, beliau memaklumkan JPST telah membuka kertas siasatan sebanyak 2,743,941 bagi tempoh Januari hingga Ogos ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,657,026 kes atau 96.3 peratus kes telah disiasat atau selesai sehingga ke peringkat pertuduhan manakala yang masih dalam tindakan hanya tinggal 0.89 peratus atau 24, 490 kes.

Mengulas mengenai statistik jumlah saman yang dikeluarkan bagi tempoh 2021 sehingga Ogos 2023, Mat Kasim berkata, ia turut mencatatkan peningkatan sebanyak 13,594,659 saman.

Jumlah itu sekaligus menyumbang kepada kutipan dana kerajaan dan ia merupakan salah satu konsep peringatan kepada pengguna untuk mematuhi peratuan jalan raya.

“Daripada jumlah itu, kutipan saman yang dicatatkan (Januari hingga Ogos 2023) adalah RM302,433,000 bermakna RM300 juta telah kita dapat sumbangkan kepada dana kerajaan walaupun kami adalah agensi penguatkuasaan tetapi kutipan saman cukup tinggi.

“Kalau kita lihat kutipan pada tempoh yang sama untuk tahun 2022 pula adalah sebanyak RM127,827, 200, saya akui memang ada perbezaan dan peningkatan,” ujarnya.

Katanya, peningkatan pembayaran saman itu turut disumbang dengan pelaksanaan sistem tanpa tunai melalui aplikasi MyBayar Saman yang kini diterima baik oleh pengguna.

“Bagi 2023 sahaja, kita telah kutip sebanyak RM169, 283,220 berbanding tahun lepas hanya RM37,594,840. Jadi kita telah mempermudahkan lagi kaedah masyarakat untuk membuat pembayaran saman yang mereka terima.

“Sekiranya kita ada buat program potongan saman, mereka tidak lagi perlu berpusu-pusu ke kaunter saman. Kita buat secara automatik akan standardkan dalam sistem aplikasi dan mereka boleh bayarlah di mana-mana dengan kaedah masing-masing tanpa tunai,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan berdasarkan rekod pengguna yang telah menjelaskan kompaun saman menerusi MyBayar Saman bagi dari awal tahun sehingga Ogos adalah seramai 1,106,734 orang.

Dalam pada itu, JSPT turut menyarankan aplikasi MyBayar Saman dinaik taraf bagi pembayaran melibatkan pembaharuan lesen senjata, salinan laporan dan sebagainya. – MalaysiaGazette