KUALA LUMPUR – UMNO dan DAP perlu meningkatkan persefahaman kerana keserasian antara kedua-dua parti itu akan membantu kelangsungan Kerajaan Perpaduan sehingga penggal ini berakhir.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, keserasian antara UMNO dan DAP juga merupakan ancaman kepada Perikatan Nasional (PN).
Menurut beliau, beberapa pilihan raya kecil (PRK) telah memberi ruang untuk menguji keserasian antara UMNO dan DAP.
“PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai telah membuka jalan. PRK DUN Pelangai medan mematangkan lagi keserasian itu.
“Sebab itu UMNO mesti agresif beri penjelasan kepada jentera, ketua cawangan dan akar umbi mengenai rasional kerjasama UMNO-DAP,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd Puad memberitahu, perjuangan UMNO tidak tergadai walaupun bekerjasama dengan DAP kerana parti itu boleh jadi pengimbang dalam Kerajaan Perpaduan untuk menjaga kepentingan Melayu dan Islam.
Beliau menambah, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad pernah membawa idea untuk menubuhkan Majlis Perundingan Cina (CCC) dalam Pas namun dikecam hebat selepas parti itu kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU).
“Tetapi itu membuka jalan kepada tahaluf siyasi Pas. Akhirnya parti itu bekerjasama dengan DAP pada zaman Semangat 46 dan Pakatan Rakyat,” jelasnya.
Mohd Puad berkara, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan perkara yang hampir sama apabila memimpin parti membuat keputusan konsensus menyertai Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP.
“Ia membuka jalan persefahaman UMNO-DAP. Anthony Loke lebih terbuka. Dia lebih waras daripada pemimpin PN yang ‘histeria’,” katanya. – MalaysiaGazette