Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk S. Sasikala Devi.

KUALA LUMPUR – Satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan satu video tular dalam media sosial yang memaparkan seorang wanita dipukul oleh seorang anggota polis.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, pada 29 Ogos lalu, pihaknya telah mengesan video berdurasi satu minit 26 saat yang tular di laman media sosial.

Hantaran itu kemudian didapati dimuat naik oleh seorang pemilik akaun “@konsi, viral” pada 24 September lalu pukul 12 tengahari.

“Penelitian dalam video itu mendapati seorang wanita dikatakan telah dipukul oleh seorang penjawat awam di mana lokasi, tarikh dan tempat kejadian tidak diketahui.

“Hasil semakan mendapati penjawat awam tersebut merupakan seorang anggota polis yang bertugas di Kontinjen Selangor dan sedang menjalani cuti sakit disebabkan lumpuh separuh badan,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Tambah Sasikala Devi, hasil siasatan lanjut pihaknya mendapati kejadian yang dirakam adalah sebenarnya video lama yang telah ditularkan semula di media sosial.

“Sehubungan itu, pihak Polis Selangor telah membuka kertas siasatan tatatertib berikutan video tular itu dan masih menjalankan siasatan memandangkan tiada sebarang laporan  dibuat berhubung kejadian tersebut.

“Selain itu, pihak kami juga ingin menegaskan kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutamanya melibatkan PDRM Selangor serta akan mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast