MELAKA – Sebanyak 8,400 kampit beras putih tempatan (BPT) akan dijual pada harga RM26 di semua 28 Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) negeri pada Sabtu dan Ahad ini.
Itu jaminan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh susulan kesukaran rakyat negeri itu mendapatkan bekalan yang semakin serius sejak beberapa minggu lalu.
Usaha itu juga selepas tindakannya menyerbu operasi kilang pembungkusan beras untuk melihat situasi sebenar semalam sehingga ia tular di media sosial.
“Bermula Sabtu ini, setiap Japerun (28 buah) di Melaka kita akan adakan jualan 300 kampit BPT pada harga RM26 sekampit 10 kilogram.
“Jualan ini terhad satu kampit bagi setiap keluarga dan mereka boleh membelinya di Japerun terdekat mengikut DUN masing-masing,” katanya menerusi Facebook (FB) rasminya di sini hari ini
Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana kartel beras sehingga menekan rakyat ketika mereka sedang susah.
“Saya beri amaran kepada mereka agar tidak sesekali mengaut keuntungan besar ketika rakyat berdepan kesusahan pada waktu ini.
“Pengilang, pengedar dan peruncit dalam Melaka yang cuba bertindak demikian saya akan jejak mereka sehingga ke penghujungnya,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette