MELAKA – Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menyimbah air panas terhadap anaknya sehingga menyebabkannya parah, tahun lalu hanya disebabkan mangsa menghabiskan data internetnya.
Tertuduh, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, ibu anak empat itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap anak lelakinya berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2.56 pagi di sebuah rumah di taman perumahan tentera di Sungai Udang pada 27 Jun 2022.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau dengan sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.
Difahamkan, kejadian berpunca apabila mangsa yang juga anak kedua daripada empat beradik menghabiskan data internet untuk kegunaan adiknya menyebabkan ibunya berang sehingga sanggup bertindak demikian.
Kecederaan dialami kemudian disedari ibu kepada rakan kanak-kanak itu apabila terlihat baju sekolahnya melekit dengan kesan luka sebelum membuat laporan polis.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar memohon tertuduh tidak dibenarkan jaminan mengambil kira faktor dia tinggal serumah dengan mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan bagi jaminan.
Mahkamah kemudian bersetuju dengan pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh 26 Oktober ini sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
PN dijangkakan akan menang dengan majoriti lebih besar.
Sama2 tunggu detik bersejarah ini.