Dr. Mohamad Izwan Zainal

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengemukakan tiga resolusi atau cadangan jangka pendek dan panjang kepada kerajaan bagaimana untuk mengatasi masalah ketiadaan beras tempatan dalam pasaran.

Selain itu, mereka berpendapat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu perlu ditukarkan portfolio lain, kata Pengerusi Biro Ekonomi dan Sara Hidup Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal.

“Beliau (Mohamad) bukan sahaja gagal bertindak secara berkesan tapi tidak memahami langsung isu beras disebabkan kurangnya daya intelek dan ilmu kecuali bercakap dari maklumat yang disumbat oleh pegawai kementerian sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut Mohamad Izwan, cadangan lain ialah melibatkan menyediakan sistem pengurusan dan perjalanan beras lebih sistematik antara proses tuaian agar terus sampai kepada pengguna.

Maknanya jumlah tuaian mesti sama dengan kapasiti beras yang dijual kepada pengguna.

Jika ada perbezaan daripada segi jumlah, kerajaan boleh mengesan ke mana beras itu disalur dan disimpan, katanya.

“Cadangan kedua, wujudkan simpanan beras yang berpusat dan dikumpulkan bagi lebihan-lebihan tuaian dalam memastikan ketelusan kepada keterjaminan sumber beras negara sebagai cadangan jangkamasa pendek.

“Seterusnya, Putra mencadangkan petani dan pengusaha padi diberikan kebenaran mengeluarkan benih untuk sawah masing-masing tanpa bergantung kepada pengedar sedia ada bagi mengekang kenaikan harga benih padi,” katanya.

Jelas Mohamad Izwan, dengan dasar liberalisasi itu, ia boleh menjamin kos penanaman padi pada paras rendah sekiranya tidak bergantung kepada penjualan benih daripada entiti luar yang dilantik dan diberikan lesen oleh kerajaan berdasarkan kronisme serta proksi.

Melalui tiga resolusi itu, Putra yakin ia akan memberikan manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan masalah ketiadaan beras masih berlarutan.

“Tinjauan ke pasar raya  di Ampang dan Desa Pandan semalam menyaksikan beras tempatan tidak ada dalam pasaran melainkan bekalan beras import yang berlambak di rak.

“Adakah kerajaan tahu atau sedia maklum hal ini? Atau masih lagi mahu menangguk di air keruh dengan berpegang kepada pendirian sebagai masalah teknikal?

“Bahkan petani sendiri hairan dengan kekurangan beras tempatan di pasaran, sedangkan jumlah pengeluaran adalah pada purata yang sama sebelumnya,” katanya.

Mohamad Izwan berkata, jika benar wujud pengaruh daripada kumpulan tertentu yang mengurus atau mengaturkan sebarang aktiviti mengawal barangan hingga menyebabkan kenaikan harga, tindakan tegas perlu diambil.

Golongan kapitalis itu, ujar beliau, yang berselindung dalam aktiviti perniagaan tertentu tidak menghiraukan krisis berlaku kerana mereka hanya mengambil kesempatan menerusi isu pemberhentian import beras daripada India.

“Kementerian berkaitan pula perlu menjelaskan secara komprehensif kepada masyarakat dengan memberikan tindakan proaktif supaya ketiadaan beras tempatan dalam pasaran ini dapat ditangani segera.

“Isu ini sama seperti teori domino. Jika satu blok jatuh, satu persatu blok yang lain akan jatuh. Sama seperti beras, kenaikan harga ini memberikan impak kepada sektor lain seperti restoran dan seterusnya perbelanjaan rakyat.

“Kesan lain yang dihadapi ialah inflasi akan naik dengan kecerunan yang tinggi untuk tempoh setahun berbanding lima tahun sebelumnya,” ujarnya.

Menurut beliau, walaupun Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan ada namun ia tidak menganalisis kepada punca kenaikan sehingga akta itu hanya akan menindas sebelah pihak seperti peruncit.

Justeru, Putra beberapa resolusi yang dikemukakan Putra untuk menyelesaikan permasalahan isu beras tempatan adalah dengan menyarankan kementerian mengemukakan pelan bertindak jangka pendek yang menyasarkan hujung September ini dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kesian Pak Mat kat kampung dah seminggu tak menoreh sebab hujan, nak beli beras murah tempatan stok dah takde, terpaksa juga beli beras mahai.

    Kalau menteri beras tak perform2 lagi, elok tukar kejabatan lama, boleh makan angin naik jet masak2 atas kapai. Itu lebih mudah?

Comments are closed.