KUANTAN – Seorang penjual durian berputih mata setelah kerugian RM252,600 akibat tertipu dengan tawaran kerja secara dalam talian.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 46 tahun telah berkenalan dengan seorang wanita pada bulan Ogos lalu.
“Wanita itu menawarkan pekerjaan sebagai Assistant Marketing Online dan mangsa diberi tugasan menerusi aplikasi yang dimuaturun dengan dijanjikan keuntungan sebanyak 10% dari setiap tugasan yang diberi,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa menyedari dia diperdaya setelah melakukan 55 kali pindahan wang ke 12 akaun bank yang berlainan berjumlah lebih RM250,000.
Lebih menyedihkan, Yahaya memberitahu, mangsa telah membuat pinjaman wang daripada saudara dan rakannya bagi tujuan tersebut setelah wang simpanannya habis diberikan.
Justeru, pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan serta menegaskan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.
Orang ramai turut dinasihati mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu seperti latar belakang syarikat yang ditawarkan dan membuat semakan nombor akaun yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette