Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How

IPOH – Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How hari ini memohon maaf secara terbuka atas tindakan beliau memetik ayat al-Quran dalam satu video di laman media sosialnya baru-baru ini.

Beliau membuat permohonan maaf secara terbuka itu pada sidang media di Pusat Khidmat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dekat sini hari ini.

Lee berkata beliau sama sekali tidak berniat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam malah menyambut baik saranan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung perkara itu.

“Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam mengenai isu ini namun saya tegaskan sebelum saya memetik ayat Al-Quran, perkara ini telah saya rujuk kepada orang alim dalam agama Islam.

“Tidak timbul soal menafsir secara membuta tuli namun saya memohon maaf jika perbuatan saya menyinggung perasaan umat Islam secara keseluruhannya di negara ini,” katanya.

Lee juga berkata beliau sudah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung isu itu yang berlangsung selama sejam namun tidak mendedahkan lokasi ia direkodkan.

Pada Jumaat lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya akan merekod keterangan Lee dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ Bukit Aman.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata laporan asal atau laporan pertama kes itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Badan bukan kerajaan iaitu Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak turut membuat laporan berhubung isu sama pada Khamis lepas.- BERNAMA

1 Komen

Comments are closed.