Minggu Negarawan membincangkan isu Perlembagaan yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa larangan supaya tidak ada mana-mana pihak menyentuh isu mengenai agama, kaum dan raja (3R) hanyalah bermotifkan politik.

Menurut Mahathir, larangan tersebut bagi menghalang pemimpin parti lawan daripada mengkritik kerajaan melibatkan isu 3R yang boleh menyebabkan sokongan terhadap kerajaan berkurangan.

“Kalau pihak kerajaan bercakap berkenaan benda yang 3R tidak mengapa. Kalau ahli daripada parti lawan bercakap sikit sentuh pun akan dipanggil oleh polis. Ini politik.

“3R ini dibentuk bukan untuk menjaga keselamatan negara tetapi diguna untuk menghalang ahli parti lawan daripada mengkritik kerajaan berkenaan dengan masalah 3R tadi.

“Kita tahu ada usaha untuk menjelaskan bahawa orang Melayu menghadapi 12 masalah, jadi pihak kerajaan takut kalau orang Melayu bercakap berkenaan perkara ini sokongan terhadap kerajaan akan berkurangan sebab itu dihentikan segala sentuhan kepada soal kaum, agama dan raja,” kata Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam siri ketiga Minggu Negarawan membincangkan isu Perlembagaan yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Mahathir mendakwa, tindakan kerajaan mengadakan peraturan secara ‘suka hati’ menyebabkan negara seolah-olah tidak mempunyai Perlembagaan kerana tidak menghormati undang-undang sedia ada.

Sementara itu Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla mendakwa 3R ‘menjadi undang-undang’ selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat ucapan ketika pelantikan Ketua Polis Negara dan Timbalan yang baharu pada 22 Jun lalu.

“Pada hari itu Menteri Dalam Negeri dalam ucapan membuat satu kenyataan yang salah itulah permulaannya. Di mana dia menyatakan mulai dari sekarang antara tanggungjawab polis adalah untuk mengalas isu-isu berkaitan 3R.

“Nombor satu dia tidak jelaskan apa 3R yang dia faham, yang kedua pihak eksekutif, menteri atau perdana menteri tidak boleh mencampuri urusan polis, pihak berkuasa. Itu tanggungjawab pihak polis,” katanya.

Menurut Mohamed Haniff, negara telah mempunyai undang-undang yang jelas berkaitan 3R di bawah Akta Hasutan.

Katanya, membangkitkan perkara 3R bagi tujuan menghasut adalah salah namun untuk membetulkan fakta dan menjadikan ia satu pembelaan dibenarkan dalam akta tersebut.-MalaysiaGazette