BENTONG – Aktiviti kempen Calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat tidak terjejas meskipun parti itu sedang mengadapi kemelut petisyen berkaitan isu rasuah.
Kasim menegaskan, beliau tidak terbabit dengan gejala rasuah dan mematuhi panduan yang digariskan menerusi taklimat yang diberikan oleh Suruhankaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita jalan ikut seperti yang digariskan peraturan-peraturan digariskan terutamanya peraturan-peraturan terbaharu dalam pilihan raya di enam negeri sebelum ini,” katanya ketika diminta mengulas Keputusan Mahkamah Pilihan Raya semalam.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, tidak menjejaskan sokongan terhadap PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Anselm Charles Fernandis membuat keputusan membatalkan kemenangan Che Alias selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang dikemukakan pengundi bagi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Sementara itu beliau yang mesra disapa Cikgu Kasim berkata, memasuki hari kelima berkempen, dijadualnya berjalan lancar.
Beliau yang menemui pengundi di masjid, bersarapan pagi di warung dan pasar pagi terkejut melihat respons yang diberikan.
“Respons pengundi sangat positif, pengundi kata ‘don’t worry‘ dan akan memberikan sokongan. Kita 2,000 pengundi luar.
“Kita menghubungi pengundi luar menerusi panggilan telefon dan berkempen di media sosial. Pengundi akan balik mengundi nanti,” tambahnya.
Dianggarkan 65 peratus pengundi akan keluar mengundi pada 7 Oktober nanti bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRK Pelangai. – MalaysiaGazette