Pengarah JPJ WPKL, Mohd Zaki Ismail bercakap pada media mengenai Operasi Penguatkuasaan Ops Bersepadu di Plaza Tol Sentul Pasar, KL. Foto QURRATU AINI, 27 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jangan membahayakan nyawa dengan melawan arus hanya kerana tidak mahu disaman.

Peringatan itu dibuat oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur. Mohd Zaki Ismail semasa penutupan Ops Khas Motosikal di Plaza Tol Pasar Sentul Pasar hari ini.

Menurut beliau, tindakan sesetengah penunggang motosikal yang sanggup lawan arus hanya tidak mahu disaman bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah pengguna jalan raya yang lain.

“Nyawa tidak boleh ditukar dengan nilai kompaun yang dikeluarkan JPJ dan trafik. Lawan arus bukan hanya membahayakan dirinya malah pengguna jalan raya yang lain dan merisikokan keluarga di rumah kan,” katanya ketika sidang media.

Menurut beliau, kebanyakan alasan yang diterima oleh penunggang yang cuba lari dengan melawan arus adalah tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Kesalahan ini 15 hari pertama RM100 sahaja, jangan membahayakan nyawa hanya kerana tidak mahu disaman.

“Cukai jalan hanya RM2 sahaja, yang menjadi persoalan adalah bagaimana kita hendak memilih syarikat insurans bersesuaian berdasarkan kemampuan masing-masing.

“Tiada perlindungan insurans bukan hanya membahayakan diri sendiri malah menyusahkan pengguna jalan raya lain sekiranya berpaku kemalangan,” tambah beliau.

Mohd Zaki berkata, sepanjang Ops Khas Motosikal berlangsung pada 1 hingga 26 September lalu, tiada lesen memandu kompeten (CDL) mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu di sekitar Kuala Lumpur iaitu sebanyak 5,058.

Diikuti dengan kesalahan  Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh 2,977 dan insurans tiada atau tamat tempoh, 2,909.

“Sebanyak 65,042 motosikal diperiksa, 7,307 dikenakan tindakan, 556 motosikal yang disita.

“Sebanyak 14,269 notis keseluruhan dikeluarkan termasuk 12, 458 notis P22,”jelas beliau.

Ops Khas Motosikal dilaksanakan untuk memfokuskan penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal sekaligus langkah mengurangkang kemalangan jalan raya.-MalaysiaGazette