Oleh: ANUAR SHAARI
KERAJAAN dengan slogan Madani pimpinan PMX menghampiri tempoh setahun pemerintahannya pada 24 Nov 2023 nanti. Menghampiri detik itu, kita masih ternanti-nanti dasar konkrit atau pelan jangka panjang yang memberi kemudahan buat rakyat meneruskan kehidupan mereka. Mungkin pembentangan Bajet 2024 nanti ada berita gembira buat semua?
Menghampiri tempoh setahun ini juga, politik negara dilihat masih belum stabil. Banyak masa dihabiskan untuk berpolitik berikutan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15)yang tidak dibuat serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Hasilnya, rakyat terus dihidangkan dengan kisah-kisah ‘fantasi’ bagi memancing undi parti-parti politik sehinggalah selesai PRN15 yang lalu.
Selesai PRN15, cerita mahu mengambil alih kerajaan Persekutuan terus dijaja oleh pembangkang (di peringkat Persekutuan dan negeri). Tidak mengejutkan kerana inilah tugas pembangkang (dakwa mereka). Tambah mereka lagi, PMX sebelum bergelar Perdana Menteri juga acapkali melakukan hal yang sama di peringkat pusat.
Kita kesampingkan dahulu ‘cakap-cakap’ dan kritikan dari pembangkang kepada PMX dan kerajaan selepas PRU15. Kita tumpukan ‘cakap-cakap’ kurang enak atau kritikan terhadap Kerajaan Madani yang datang dari penyokong mereka sendiri seperti Datuk S Ambiga dan mereka yang menyokong Pakatan Harapan (PH) mahu pun PMX sebelum PRU15.
Kelompok ini marah dan kecewa kerana kononnya Kerajaan Madani tidak mengotakan janji-janji yang mereka sendiri lafazkan sebelum dan ketika berkempen untuk PRU15. Perkara berkaitan hak asasi manusia, ketelusan tatacara kewangan dan sistem kehakiman menjadi sasaran utama kritikan kelompok ini.
Dakwa mereka lagi, setelah menjadi kerajaan dan Perdana Menteri, PMX tidak patut menunggu lama untuk melaksanakan reformasi beberapa perkara yang seharusnya menjadi keutamaan beliau ketika menjadi Ketua Pembangkang dahulu.
Antara perkara paling asas yang boleh PMX ‘reform’ (dakwa penyokong PH) adalah kebebasan bersuara. Namun menghampiri setahun pemerintahan Kerajaan Madani, masih tiada ‘bayang’ kebebasan bersuara. Sebaliknya yang ketara adalah ugutan dari pihak berkuasa serta tangkapan lalu didakwa di mahkamah kepada pengkritik PMX dan kerajaan.
Menurut mereka dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-PH, ‘kuku’ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin mencengkam kebebasan bersuara. Segalanya dipantau dan tangkapan akan segera dibuat melibatkan hantaran-hantaran ke media sosial atau percakapan di tempat awam yang mengecam kerajaan dan PMX.
Tidak kurang juga penyokong PH yang kurang selesa apabila PMX menyaman pembangkang yang mengkritik beliau. Bagi mereka, ini budaya ‘drakonian’ yang menghalang kebebasan bersuara. Bagi PMX pula, beliau mendakwa serangan pembangkang ke atasnya adalah fitnah, bukan kritikan. Menurut beliau lagi, budaya fitnah tidak harus dibiarkan.
Begitu juga dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 SOSMA. PH pernah berjanji untuk menghapuskan akta yang kononnya terlalu zalim (bagi mereka ketika itu). Namun Kerajaan Madani pimpinan PH meneruskannya setelah menjadi kerajaan. Lebih mengejutkan penyokong PH, Menteri Dalam Negeri dari PH menyifatkan SOSMA sebagai akta yang baik serta berkesan menangani keselamatan negara. Alasan ini tidak dapat diterima oleh penyokong PH yang sealiran dengan Ambiga dan sekutunya.
Beberapa program kerajaan terdahulu juga telah ‘dihidupkan’ kembali oleh Kerajaan Madani. Program-program seperti Rakan Muda dan PERMATA kembali dilaksanakan. Program ini dikembalikan dengan transformasi atau ‘salin kulit’ untuk manfaat generasi mendatang rakyat Malaysia. Tidak mustahil juga Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bakal kembali nanti dengan wajah yang ‘sedikit’ lain.
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) cetusan idea Perdana Menteri keenam yang telah diteruskan oleh tiga Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak, kini disambung pelaksanaannya oleh PMX. Biarpun nama apa yang yang digunakan menggantikan program BR1M, bantuan ini sangat mendapat tempat di hati rakyat Malaysia yang memerlukan.
Ini belum mengambil kira cadangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikembalikan ke dasar percukaian negara. Walaupun ada bantahan dari PH dan sekutunya, nada mereka terhadap GST sudah semakin ‘lunak’. Mereka sendiri tahu GST adalah sistem yang baik, namun mungkin belum masanya pemimpin dan penyokong PH menjilat kembali ‘ludah’ mereka yang lontar keluar sebelum PRU14 dan PRU15.
Ini hanya cebisan contoh yang mengambil kira tanggungjawab besar sesebuah kerajaan mentadbir negara. Ini juga mengambil kira kritikan terhad dari penyokong kerajaan sendiri. Belum lagi mengambil kira kritikan dari pembangkang yang sangat kritis serta penuh dengan muslihat.
PMX berada dalam situasi yang ‘tidak mudah’ untuk mentadbir negara. Mengurus bantahan penyokong sendiri adalah lebih sukar dari menguruskan kritikan pembangkang. Jika tidak diuruskan dengan teliti, ia bakal menjadi barah yang merebak dari dalam. Semuanya perlu ditangani dengan penuh berhemah.
Saya yakin semua pemimpin parti politik sentiasa sedar bahawa mereka perlu berpijak di bumi yang nyata bila berjanji. Namun mereka perlu mengangkat diri ke awang-awangan dan melontar gula-gula ‘fantasi’ bagi mengkhayalkan penyokong demi menang pilihan raya. Inilah sindrom yang melanda sebahagian penyokong PH terhadap PMX, kesan dari ‘gula-gula’ yang dilontarkan beliau dahulu.
Sebahagian pendukung PH kini terperangkap antara reformasi, fantasi dan realiti. Dakwa mereka juga, PMX telah berubah sekelip mata kerana tidak melaksana reformasi seperti janjinya dahulu. Sementara mereka masih hidup dalam dunia fantasi hasil janji retorik, PMX terus jalan ke hadapan mengharungi realiti tanpa mengambil serius kritikan mereka.
Hakikatnya, mengurus sebuah negara tidaklah semudah berkata atau berjanji sebelum mendapat jawatan. Melaksana perubahan memerlukan kesungguhan, keazaman serta keupayaan. Selain itu, banyak pertimbangan lain yang perlu diambil kira sebelum melaksanakannya. la tidak semudah lafaz “hari ini menang, esok kita ubah semua”.
Walaupun tidak mudah, yang penting adalah terus bergerak ke hadapan. PMX sedang dalam proses evolusi dari reformasi ke transformasi langsung menuju realiti. Tiada lagi politik fantasi. Beliau telah ‘transform’ menjadi seorang yang pragmatik sambil mendakwa dirinya masih seorang reformis.
Berpada-padalah dalam berjanji. Politik fantasi sehingga penyokong taksub dan khayal seharusnya dihentikan. Suka atau tidak, PMX perlu terus bergerak ke hadapan sambil ‘menelan’ kembali kata-katanya yang ‘manis’ serta ‘cakap tak serupa bikin’ sebelum ini. Biarpun pahit, mungkin itulah ubat (pengajaran) bagi PMX, jika beliau mahu mengambil ‘ibrah’ dari situasi ini.
Seiring perjalanan PMX merintis realiti, segala usaha beliau ke arah kebaikan perlu diteruskan. Pembangkang dan segelintir penyokong PH perlu lebih fleksibel menunjangi dasar-dasar kerajaan yang memberi kebaikan kepada rakyat. Tidak perlu berpolitik sepanjang masa!
Hendaknya juga jangan ada lagi politik fantasi dalam kalangan kerajaan atau pembangkang selepas ini. Anjakan paradigma dalam spektrum politik Malaysia oleh bermula dengan kempen secara sihat berpaksikan realiti. Nilai tambahnya disertakan dengan janji apa yang mampu dilaksana sahaja. Tidak perlu yang retorik!
Mentadbir negara memerlukan elemen reformasi dan transformasi. la proses evolusi serta saling berkait dengan kerajaan sebelumnya. la juga evolusi yang menuntut keazaman dan kecekalan jitu dari semua pihak. Ini perlu agar proses pembangunan negara tidak terbantut. Jika ini berlaku, rakyat yang menerima akibatnya.
Kini dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Apa yang diimpi PMX sudah tercapai. Sekarang masanya kata mesti dikota. Madani bukan sekadar kata-kata. Kerajaan Madani perlu berani mempertahankan yang hak dan mengetepikan yang batil. Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.
Tentunya rakyat yang akan menilai PMX dan Kerajaan Madani empat tahun selepas ini sama ada beliau seorang reformis, transformis, realitis atau fantasis!
P/S : Khabarnya akan ada rombakan Kabinet Kerajaan Madani dalam masa terdekat. Jika benar, moga ia pemangkin kepada penambahbaikan menangani isu rakyat.
Selamat menyambut ulang tahun pertama pemerintahan Kerajaan Madani.
Penulis ialah pemerhati politik. Beliau pernah bertugas di beberapa agensi Persekutuan dan badan berkanun dalam bidang media, advokasi dan pemantauan.
Kerajaan fantasi